Saturday, April 23, 2011

Sirah anbiya buat si kecil.

Wajah comel itu terjengul di sebelah, mengalih perhatian dari rutin mentadabbur kalamullah. Berpaling seketika dan menguntum senyuman tanda meraikan sebelum menyambung bacaan yang tergendala, surah Hud yang menghampiri pengakhirannya. Sangkaan sang pemilik jiwa yang masih suci itu bakal beredar ternyata meleset sama sekali, bahkan si kecil masih di setia di sisi menemani. Kebosanan barangkali kerana tiada teman sebaya kala menanti azan isyak malam itu.

“Bacakan ni,” tafsir al-Quran ditangan disua, disambutnya malu- malu sebelum di baca perlahan.

“Hmm… pandai,” pujian itu ternyata membeli hatinya, satu cara galakan berdasarkan kaedah psikologi. Bacaannya ternyata semakin lancar dan penuh minat. Apalagi bila si kecil mula beralih tempat dan selesa mengambil duduk di ribaan.

“Tahu tak siapa Musa dalam ayat ni?” si kecil menggeleng jujur. “Tahu tak nabi tu apa?” angguk.


Kisah Nabi Musa dan Firaun diceritakan, bagaimana Nabi Musa diutus Allah s.w.t untuk mendakwah Firaun, sang pemerintah zalim yang melampau mengaku diri sebagai Tuhan. Kisah ini turut tercatat dalam surah an-Nazi’at bermula dari ayat 17. Dan kemudian bagaimana ahli- ahli sihir berkumpul di pihak firaun untuk melawan nabi Musa lalu sihir mereka dikalahkan dengan mukjizat kenabian bilamana tongkat nabi Musa berubat menjadi ular yang besar setelah dicampakkan, sekaligus menelan sihir batil tersebut. Cerita dihentikan, sengaja merangsang rasa ingin tahunya. Dalam waktu yang sama, nama si bongsu yang berada nun jauh di Darul Naim sana menerjah ingatan. Dia juga pernah meminta diceritakan kisah anbiya’ seusai menyemak bacaan al-Qur’an di kala maghrib itu, dari kakaknya yang merangkap ‘bukan-ustazah’ yang garang ini memperbetulkan sebutan makhraj apalagi kesempurnaan tajwidnya. Dek kerana keterbatasan waktu cuti semester yang singkat pada kali itu, permintaannya hanya sempat dipenuhi seadanya dengan cerita kelahiran Nabi Isa dan kisah Maryam, dari surah Maryam juga berbekalan sedikit ingatan akan penerangan Ustaz Adli dalam ‘Wanita- wanita Dari Kacamata al-Quran’ di IIS Taman Setiawangsa tidak berapa lama sebelumnya.

“Lepas tu?” tanya si kecil penuh minat. Ah, kembali semula ke tahun 2011. Dan taktik berjaya…

Ahli- ahli sihir menyedari bahawa mukjizat nabi Musa adalah benar dan bukannya sihir yang mengabui mata, lalu mereka mengakui kenabian Musa sebagai pesuruh Allah, dan lebih- lebih lagi mengakui ketuhanan Allah s.w.t sebagai tuhan yang satu.
             
   ‘kami beriman kepada Tuhan yang Esa, tuhan sembahan Musa dan Harun!’

Pengakuan mereka yang tercatat dalam al-Quran ini membangkitkan kemarahan Firaun, yang seterusnya memburu Nabi Musa serta para pengikutnya untuk dibunuh. Mereka yang memilih jalan yang benar dihambat dengan tentera- tentera berkuda, sehinggalah mereka terperangkap di hadapan Laut Merah. Di hadapan mereka terbentang laut yang meluas, dan di belakang pula hamba- hamba penjulang kezaliman firaun makin merapat. Hanya Allah s.w.t yang disandarkan segala pengharapan, tawakal atas hidup dan mati mereka. Lalu bagaimana hendak dilintasi laut itu?

“Guna kaki?” teka si kecil solehah, anak pak bilal Surau Hj Ismail, Puncak Alam fasa 3 ni.

“Tak boleh, air tersangat dalam. Nanti tenggelam, mati lemas. Macamana nak redah laut tu?”

“Tak tahu. Macam mana?”

Waktu ini sekali lagi mengangkat perihal mukjizat nabi Musa. Tongkat yang sebelumnya dapat ditukar menjadi ular, dipukul ke laut Merah atas perintah Allah s.w.t. Dan dengan izin Allah, laut itu terbelah memberi jalan pada Nabi Musa dan para pengikutnya yang benar. Allah s.w.t sangat hebat lagi Maha Berkuasa. Hebatkan Allah?

Si kecil mengangguk mengiyakan. “Hebat!”

Teringat akan tazkirah pagi di radio IKIM.fm yang sempat didengar selepas subuh sebelum memulakan sesi praktikal di ICU sebelum ini yang mentafsirkan ayat sekaligus turut mengupas kisah pedoman yang sama. Kalau tidak silap, penceramahnya adalah Ustaz Zahazan. Wallahualam. Diceritakan, oleh kerana kaum bani Israel itu banyak songehnya, maka lorong yang terhasil untuk merentasi Laut Merah itu dengan izin Allah adalah sebanyak 12 lorong, setiap satu lorong untuk satu puak. Bahkan mereka boleh turut melihat sesama sendiri dari puak lain yang sedang melintas laut menggunakan lorong yang lain, menguatkan keyakinan bahawa mereka akan terselamat dengan bantuan Allah s.w.t, menepis sangkaan mereka bahawa puak lain selain mereka ditenggelamkan.

Cerita diteruskan, dan sesekali wajah ditoleh melihat reaksi si comel yang kian selesa di ribaan.

Firaun si pemerintah zalim terus mengejar di belakang, dan turut mengikut di belakang mereka merentasi laut tersebut. Dan setibanya nabi Musa dan pengikutnya tiba di sebelah daratan sana dengan selamat, Allah s.w.t menenggelamkan golongan firaun yang zalim ini yang ketika itu berada di pertengahan laut. Dalam keadaan Firaun yang tercungap- cungap kelemasan dan tatkala nyawa berada di tenggorokan, barulah dia mengakui keEsaan Allah s.w.t sebagai satu- satunya tuhan kepada sekalian alam. Namun detik itu sudah terlambat, taubatnya tidak lagi diterima. Lalu mayatnya dihanyutkan ombak lalu terdampar ke daratan, dikekalkan sehingga ke hari ini untuk dijadikan pedoman pada manusia- manusia selepasnya, dan juga pada kita yang masih hidup ini. Demikianlah berakhirnya kisah firaun yang takbur, sombong lagi bongkak sehingga melampaui batas mengakui diri sebagai tuhan.

‘Kita ni berusaha mencari apa rahsia ramuan manusia purbakala mesir sehingga dapat mengawet mayat firaun yang utuh. Tu, mayatnya sampai sekarang dipamer di muzium, boleh tengok kalau nak tengok walau selepas berabad- abad. Orang kita ni duk sibuk nak cari rahsia kehebatan proses pengawetannya. Tak payah! Itu semua janji Allah s.w.t untuk kekalkan mayat firaun dan harta- hartanya, pinggan mangkuk serta gelas emasnya, piramid pada zaman firaun. Itu semua kehendak Allah, untuk kita jadikan pedoman dan ambil iktibar dari kisah firaun ni’
Begitulah lebih kurang kata- kata seorang ustaz yang terakam samar- samar di ingatan. Hm, nilah akibat terlebih makan semut ni agaknya. Takpun tanda usia yang makin meningkat! (;

4 comments:

Musafir Cinta Ilahi said...

so sweet..^____^

bukanustazah said...

^____^

tak sabar nak menimang cahaya mata ye nia? (:

Nia said...

huh..sape yg xsuke budak kecil..
tp masih boleh sabar lagi..hehe..:)

Anonymous said...

hehe (:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails