Saturday, April 23, 2011

Aku ini musibah untukmu!

Walau saya sayang sangat akan persahabatan ini tapi saya sangat takut persahabatan ini mungkin menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah. Saya berdoa semoga Allah memperjauhkan kami berdua andai kehadiran saya boleh membuatkan perhatiannya terpesong dari agama, atau kehadirannya akan membuatkan perhatian saya teralih dari agama. Walau bagaimana jua caranya. Maka sebab ini juga saya akan bimbang kiranya tidak mendengar khabar darinya dalam tempoh yang lama. Seminggu tanpa khabar berita itu cukup lama pada saya.

Bila dia dalam permusafiran, andai saya tak tahu dia tiba dengan selamat, saya akan cukup bimbang. Hati saya terlebih concern buat seseorang yang tak sepatutnya. Saya mula risau andai ini menunjukkan dia mula menjadi penting pada saya. Saya risau andai saya jatuh hati. Saya risau apakah inimembuktikan hati ini mula terusik dengan kehadiran- kehadiran sesiapa jua di sekeliling saya.


Maka saya mencari penyelesaian terbaik untuk menamatkan persahabatan ini. Bahkan selepas 2 minggu kami mengenali satu sama lain, saya telah mula runsing untuk mencari jalan yang terbaik untuk meninggalkannya. Saya taknak lukakan hati sesiapa, walaupun andai bukan dia sekalipun. Dan saya juga taknak hati saya terluka. 1 bulan bersahabat, saya hentikan persahabatan. Waktu itu saya cukup malu pada Allah, dan diri sendiri kerana bermuamalat dengan seorang ajnabi tanpa urusan. Tapi lama- kelamaan, persahabatan itu terjalin kembali.

Dan hari- hari saya berdoa supaya Allah memberi petunjuk kepada saya dalam hal ini. Rasa lemah untuk memutuskan sebuah persahabatan. Saya mencari alasan untuk memutuskan hubungan, namun tiada satu pun penyebabnya. Saya mengelak untuk menghubunginya langsung. Dia jarang menghubungi saya. Dan jika dia hubungi pun, untuk hal- hal yang penting. Itupun pada waktu- waktu yang saya tidak mungkin dapat membalas secara direct. Jarang sekali kami berhubungan hanya sekadar untuk bertanya khabar. Dia mengelak, dan saya juga mengelak.

Lama keadaan itu berterusan, sehinggalah mula timbul di hati saya rasa kesian. Saya taknak sahabat saya ini merasakan saya tidak menghargainya. Lalu jarang- jarang sekali, saya hantar mesej peringatan padanya. Dan satu langkah itu membuka kepada beratus ribu langkah yang lain. Kami berdua makin baik. Saya pula menipu hati sendiri, kononnya untuk bersahabat sehingga saya tahu perkembangannya. Saya nak tahu sampai ke mana hala tujunya. Saya taknak dia menyangka saya meninggalkannya hanya kerana dia belum mencapai kejayaan. 

Waktu itu saya sedar yang syaitan berjaya mencucuk hati saya. Saya sedar dia menjadi ujian kepada saya. Saya sedar saya juga mungkin akan menjadi musibah kepadanya. Saya sedar, keputusan di tangan saya. Samada mahu mencari redhaNya, atau mahu menempah nama ke neraka. Kepada Allah saya pulangkan hal- hal yang dirasakan tidak layak untuk saya pertikaikan dan akhirnya satu keputusan dicapai. Andai cinta Allah yang berada di puncak jiwa ini, maka perintahNya lah seharusnya saya akuri tanpa mempersoalkan. Andai saya sayangkan diri saya, ketenangan iman dalam jiwa ini yang harus dititikberatkan, apalagi bila ia hanya senipis kulit bawang. Juga andai saya betul- betul sayangkan sahabat saya, seharusnya kesejahteraan akhiratnya yang perlu saya beratkan. 

Masa terus berjalan, dan akhirnya dia memulakan karier pertamanya selepas setahun perkenalan kami. Sampai tahap ini, saya sudah pun berpuas hati untuk mengetahui perkembangannya. Maka cukuplah peranan saya sebagai sahabat. Hari pertama dia mula bertugas, malamnya saya menghantar mesej terakhir menyatakan niat saya yang telah lama terpendam. Tak perlu reply, kata saya.

Dan mulai saat itu, beban jiwa saya terangkat. Ringan dan lapang. SubhanaLlah… saya tahu itu tandanya saya telah buat keputusan yang tepat lagi diredhai Allah. Rasa ingin menangis itu mencapai pundak, tapi tiada setitis air mata pun yang keluar. Bagaimana harus saya menangis untuk sesuatu yang telah lama saya mahukan? Inilah bantuan Allah. Inilah petunjuk Allah. Inilah yang amat berharga melebihi nyawa saya. Jangan dirisau kehilangan sesuatu yang disayangi untuk mencapai redha Allah, kerana hati ini pasti tukarannya adalah sesuatu yang jauh berkali ganda lebih baik. Boleh jadi apa yang kita sukai itu bisa membawa keburukan kepada diri kita.

 Kadang- kadang saya juga terfikir, bagaimana penerimaannya kerana dia akur untuk tidak berkata apa- apa. Saya juga risau andai motivasi pada kariernya terganggu, apa lagi bila dia baru memulakan kerja pertama. Saya terlalu kejamkah? Saya mementingkan diri tanpa memikirkan keadaannya. Saya risau kesihatannya. Saya risau agamanya. Tapi semua fikiran tu saya ketepikan. Saya serahkan dia dalam jagaan Allah, maka pasti dia selamat dalam jagaannya. Doa saya tidak putus buatnya, walau sebagai sahabat yang mementingkan diri.

Tak pernah saya menyesali pertemuan kami. Tapi saya menyesali cara kami bermuamalat. Menyesali diri yang tidak menjaga ikhtilat walau sekadar berkongsi ilmu dan kata- kata nasihat.

Namun walau apapun, andai diulang sekali lagi masa ke belakang, yang pertamanya saya tetap akan melakukan perkara yang sama memutuskan persahabatan ini. Dan andai dapat diundur masa lebih jauh lagi ke belakang, mungkin, saya lebih senang untuk tidak pernah mengenalinya.





Maafkan saya sahabat, kerana terlalu jauh menyayangi kamu.

Sirah anbiya buat si kecil.

Wajah comel itu terjengul di sebelah, mengalih perhatian dari rutin mentadabbur kalamullah. Berpaling seketika dan menguntum senyuman tanda meraikan sebelum menyambung bacaan yang tergendala, surah Hud yang menghampiri pengakhirannya. Sangkaan sang pemilik jiwa yang masih suci itu bakal beredar ternyata meleset sama sekali, bahkan si kecil masih di setia di sisi menemani. Kebosanan barangkali kerana tiada teman sebaya kala menanti azan isyak malam itu.

“Bacakan ni,” tafsir al-Quran ditangan disua, disambutnya malu- malu sebelum di baca perlahan.

“Hmm… pandai,” pujian itu ternyata membeli hatinya, satu cara galakan berdasarkan kaedah psikologi. Bacaannya ternyata semakin lancar dan penuh minat. Apalagi bila si kecil mula beralih tempat dan selesa mengambil duduk di ribaan.

“Tahu tak siapa Musa dalam ayat ni?” si kecil menggeleng jujur. “Tahu tak nabi tu apa?” angguk.


Kisah Nabi Musa dan Firaun diceritakan, bagaimana Nabi Musa diutus Allah s.w.t untuk mendakwah Firaun, sang pemerintah zalim yang melampau mengaku diri sebagai Tuhan. Kisah ini turut tercatat dalam surah an-Nazi’at bermula dari ayat 17. Dan kemudian bagaimana ahli- ahli sihir berkumpul di pihak firaun untuk melawan nabi Musa lalu sihir mereka dikalahkan dengan mukjizat kenabian bilamana tongkat nabi Musa berubat menjadi ular yang besar setelah dicampakkan, sekaligus menelan sihir batil tersebut. Cerita dihentikan, sengaja merangsang rasa ingin tahunya. Dalam waktu yang sama, nama si bongsu yang berada nun jauh di Darul Naim sana menerjah ingatan. Dia juga pernah meminta diceritakan kisah anbiya’ seusai menyemak bacaan al-Qur’an di kala maghrib itu, dari kakaknya yang merangkap ‘bukan-ustazah’ yang garang ini memperbetulkan sebutan makhraj apalagi kesempurnaan tajwidnya. Dek kerana keterbatasan waktu cuti semester yang singkat pada kali itu, permintaannya hanya sempat dipenuhi seadanya dengan cerita kelahiran Nabi Isa dan kisah Maryam, dari surah Maryam juga berbekalan sedikit ingatan akan penerangan Ustaz Adli dalam ‘Wanita- wanita Dari Kacamata al-Quran’ di IIS Taman Setiawangsa tidak berapa lama sebelumnya.

“Lepas tu?” tanya si kecil penuh minat. Ah, kembali semula ke tahun 2011. Dan taktik berjaya…

Ahli- ahli sihir menyedari bahawa mukjizat nabi Musa adalah benar dan bukannya sihir yang mengabui mata, lalu mereka mengakui kenabian Musa sebagai pesuruh Allah, dan lebih- lebih lagi mengakui ketuhanan Allah s.w.t sebagai tuhan yang satu.
             
   ‘kami beriman kepada Tuhan yang Esa, tuhan sembahan Musa dan Harun!’

Pengakuan mereka yang tercatat dalam al-Quran ini membangkitkan kemarahan Firaun, yang seterusnya memburu Nabi Musa serta para pengikutnya untuk dibunuh. Mereka yang memilih jalan yang benar dihambat dengan tentera- tentera berkuda, sehinggalah mereka terperangkap di hadapan Laut Merah. Di hadapan mereka terbentang laut yang meluas, dan di belakang pula hamba- hamba penjulang kezaliman firaun makin merapat. Hanya Allah s.w.t yang disandarkan segala pengharapan, tawakal atas hidup dan mati mereka. Lalu bagaimana hendak dilintasi laut itu?

“Guna kaki?” teka si kecil solehah, anak pak bilal Surau Hj Ismail, Puncak Alam fasa 3 ni.

“Tak boleh, air tersangat dalam. Nanti tenggelam, mati lemas. Macamana nak redah laut tu?”

“Tak tahu. Macam mana?”

Waktu ini sekali lagi mengangkat perihal mukjizat nabi Musa. Tongkat yang sebelumnya dapat ditukar menjadi ular, dipukul ke laut Merah atas perintah Allah s.w.t. Dan dengan izin Allah, laut itu terbelah memberi jalan pada Nabi Musa dan para pengikutnya yang benar. Allah s.w.t sangat hebat lagi Maha Berkuasa. Hebatkan Allah?

Si kecil mengangguk mengiyakan. “Hebat!”

Teringat akan tazkirah pagi di radio IKIM.fm yang sempat didengar selepas subuh sebelum memulakan sesi praktikal di ICU sebelum ini yang mentafsirkan ayat sekaligus turut mengupas kisah pedoman yang sama. Kalau tidak silap, penceramahnya adalah Ustaz Zahazan. Wallahualam. Diceritakan, oleh kerana kaum bani Israel itu banyak songehnya, maka lorong yang terhasil untuk merentasi Laut Merah itu dengan izin Allah adalah sebanyak 12 lorong, setiap satu lorong untuk satu puak. Bahkan mereka boleh turut melihat sesama sendiri dari puak lain yang sedang melintas laut menggunakan lorong yang lain, menguatkan keyakinan bahawa mereka akan terselamat dengan bantuan Allah s.w.t, menepis sangkaan mereka bahawa puak lain selain mereka ditenggelamkan.

Cerita diteruskan, dan sesekali wajah ditoleh melihat reaksi si comel yang kian selesa di ribaan.

Firaun si pemerintah zalim terus mengejar di belakang, dan turut mengikut di belakang mereka merentasi laut tersebut. Dan setibanya nabi Musa dan pengikutnya tiba di sebelah daratan sana dengan selamat, Allah s.w.t menenggelamkan golongan firaun yang zalim ini yang ketika itu berada di pertengahan laut. Dalam keadaan Firaun yang tercungap- cungap kelemasan dan tatkala nyawa berada di tenggorokan, barulah dia mengakui keEsaan Allah s.w.t sebagai satu- satunya tuhan kepada sekalian alam. Namun detik itu sudah terlambat, taubatnya tidak lagi diterima. Lalu mayatnya dihanyutkan ombak lalu terdampar ke daratan, dikekalkan sehingga ke hari ini untuk dijadikan pedoman pada manusia- manusia selepasnya, dan juga pada kita yang masih hidup ini. Demikianlah berakhirnya kisah firaun yang takbur, sombong lagi bongkak sehingga melampaui batas mengakui diri sebagai tuhan.

‘Kita ni berusaha mencari apa rahsia ramuan manusia purbakala mesir sehingga dapat mengawet mayat firaun yang utuh. Tu, mayatnya sampai sekarang dipamer di muzium, boleh tengok kalau nak tengok walau selepas berabad- abad. Orang kita ni duk sibuk nak cari rahsia kehebatan proses pengawetannya. Tak payah! Itu semua janji Allah s.w.t untuk kekalkan mayat firaun dan harta- hartanya, pinggan mangkuk serta gelas emasnya, piramid pada zaman firaun. Itu semua kehendak Allah, untuk kita jadikan pedoman dan ambil iktibar dari kisah firaun ni’
Begitulah lebih kurang kata- kata seorang ustaz yang terakam samar- samar di ingatan. Hm, nilah akibat terlebih makan semut ni agaknya. Takpun tanda usia yang makin meningkat! (;

Saturday, April 2, 2011

Di mana kemahuan. Di mana keperluan.

Berjalan, berlari, berusrah dan bertalaqqi. Tiada benda yang lagi best dari hadir talaqqi dan attend tazkirah- tazkirah setiap minggu. Walaupun tidaklah sehebat dan seberuntung orang- orang yang dipilih Allah untuk menerima tarbiah dan didikan dari ulama- ulama yang mahsyur, atau menimba ilmu nun jauh di bumi anbiya tapi alhamdulillah, di mana berkesempatan insyaallah seadanya.

Alhamdulillah, besar sekali nikmat Allah yang dengan izinNya, di sini saya hari ni. Ditakdirkan untuk tinggal berdekatan dengan surau yang aktif dengan pelbagai pengisian untuk meningkatkan ilmu dan iman. Menerima peringatan demi peringatan, sebagai panduan untuk menuju hari akhir. Dan satu demi satu para pencinta Allah, rasul dan agamaNya hadir bersama- sama di jalan ini, sama- sama berkongsi kekuatan dan semangat untuk melalui jalan yang penuh cabaran ini.
Di sebalik kesibukan kebelakangan ini, iman menangis kerana kerapkali diabaikan. Emosi tidak menentu, tanda iman yazid wa yanqus. Tanpa ilmu, jiwa terasa kosong dan mati. Hidup hanya umpama bangkai bernyawa. Apalagi bila hati turut hitam dan mati. Kata seorang ulama Islam yang tersohor, orang yang tidak mahu menghadiri majlis- majlis ilmu dan tidak mahu mendengar tazkirah, seumpama orang itu telah mati dan afdhal dibacakan yasin ke atas ‘mayatnya’.

Hakikatnya hati kecil ini sentiasa gerun, andai melepaskan kesempatan2 yang diberi Allah untuk menimba ilmu dan menghadiri tazkirah. Apalagi bila dipermudahkanNya dengan pelbagai nikmat seperti saat ini. Tiada alasan untuk tidak hadir dengan nikmat tubuh badan yang sihat sempurna yang dikurniakanNya, dengan kesempatan masa yang ada, dengan jarak rumah Allah yang melampau  dekat dengan kediaman, tanpa alasan untuk tidak dapat hadir dek ketiadaan kenderaan, dengan nikmat keamanan dan keselamatan agama nyawa maruah dan harta, tanpa kekangan dari isu kewangan. Andai Allah menarik balik semua nikmat ini, betapa ruginya diri ini.

Hakikatnya diri ini tidak sempurna dan banyak cela. Namun ketidaksempurnaan ini tidak menutup sepasang mata ini untuk melihat betapa besarnya nikmat yang diberi ini. Rugi sekali orang yang lebih mencintai dunia, mabuk dengan internet, movie lagho dan fesbuk pelbagai. Hairan, apakah mata mereka buta, atau hati yang buta? Atau hati mereka ditutup Allah dari melihat jalan yang lurus kerana kesukaan mereka mencintai kelalaian itu lebih besar dari kesedaran untuk meraih nikmat di akhirat kelak? Astaghfirullah wa nau’dzubillah! Ingatlah wahai sahabat, orang yang cerdik adalah orang yg sentiasa berusaha untuk memperbaiki dirinya, manakala orang yang dungu adalah orang yang hanya berangan- angan kosong instead of berusaha memperbaiki agamanya. Allah tidak akan membantu kaum yang tidak berusaha membantu diri mereka sendiri.

Jangan hanya berkata ya dengan mulut, tapi tunjukkanlah ya itu dengan perbuatanmu.

Jangan berlebihan mengzahirkan di depan sahabatmu, tapi zahirkan kesungguhan hatimu di depan Allah SWT.

Hindarilah dari sikap munafik yang dizahirkan dari mulut dan anggotamu, bilamana yang sebenarnya di dalam hatimu hanya mahu kelihatan hebat di pandangan manusia namun hakikatnya hatimu keberatan untuk melaksanakannya.

Nau’dzubillah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails