Sunday, January 16, 2011

Mencari erti sebuah kebaikan.

Seorang ustaz yang dirahmati Allah dalam satu kuliah tafsir al-Qur'an ada menyebut, "untuk menjadi muhsinin manusia yang baik yang berkecimpung dalam kebaikan itu, tidak mudah."


Sebak.


Tak mudah, tidak sama sekali. Sememangnya keinginan untuk menjadi baik itu ada dalam diri setiap insan hatta dalam diri seorang penjahat sekalipun. Yang membezakan samada dia mahu kekal dalam kejahatan atau mahu berubah untuk menjadi baik. Samada mahu mengikut nafsu melulu atau mengikut panduan Allah swt dan rasul. Apalagi Allah SWT memberi peluang bertaubat selagi nyawa kita belum sampai di ubun- ubun. Peluang untuk memperbaiki diri itu sentiasa ada bak kata orang putih juga orang tak berapa putih mahupun tak putih langsung, "There's always room for improvement


Namun begitu, akan hadir waktunya kita terpaksa berjihad melawan hawa nafsu, melawan rasa malas, putus asa dan jemu yang bersarang di hati. Akan hadir waktunya bila mana orang- orang yang kita kasihi menentang perubahan ke arah kebaikan. Akan hadir waktunya bila mana kita mula mahu mengikut propaganda hasutan iblis dan syaitan yang mahu menyesatkan kita. 


Iblis itu, wujud lebih lama sebelum nabi Adam alaihissalam diciptakan. Menghuni syurga Allah yang penuh keindahan dan ketinggian. Namun kerana takburnya sang Iblis, dari mulia menjadi makhluk yang paling hina lagi terkutuk. Merasa bongkak dengan keturunan yang diciptakan dari api, untuk tidak menentang perintah Allah swt supaya tunduk sujud kepada nabi Adam yang diciptakan daripada tanah. Semenjak itu ia berdendam dengan keturunan Adam.
  
قَالَ أَنظِرۡنِىٓ إِلَىٰ يَوۡمِ يُبۡعَثُونَ 
[al-A'raf :14]
Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)”.

Dan semenjak diusir dari syurga kerana mengingkari perintah Allah SWT untuk sujud kepada nabi Adam alaihissalam, telah ia meminta tempoh juga bersumpah untuk menyesatkan sekalian bani (keturunan) adam. Betapa derhakanya iblis kepada perintah Allah, bila diusir kali pertama ia bersumpah.

قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٲطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ
[al-A'raf :16]
Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan
 mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;

Perkataan ( لَأَقۡعُدَنَّ) yang digunakan adalah dari (قۡعُدَ),  kata asal yang bermaksud duduk. Iblis mahu menghalang/ menghadang usaha anak adam dari melakukan kebaikan. Fikirkan, kenapa ia tidak menggunakan perkataan berdiri? Andai seseorang berdiri di hadapan, menghalang laluan kita, kita senang menolak juga menjatuhkannya. Ulama tafsir mengatakan peranan perkataan duduk itu menunjukkan ia (iblis) mengguna apa jua cara bagi menyusah dan menyesatkan manusia. Ayat seterusnya menceritakan betapa makhluk laknatuLLAH ini berusaha sedaya upaya untuk menyesatkan manusia dari pintu kebaikan samada dari bahagian hadapan, belakang, kanan juga kiri.

Atas?

Ulama mentafsirkan ayat ini berperanan menunjukkan bahawa kemuliaan dan kemuliaan Allah SWT itu melebihi kudrat iblis, maka iblis tidak dapat menghalang permohonan juga doa umat manusia dari sampai kepada Allah SWT. Ini tidak bermaksud menunjukkan keberadaan Allah SWT sebagai berada di atas atau di langit, kerana sifat Allah SWT itu bukan seperti makhluk ciptaan-Nya. Allah wujud tidak bertempat, Maha Suci Allah dari segala tanggapan yang tidak patut.


Kita, wahai sahabat yang dikasihi sekalian, tabahkanlah hati. Hidup di dunia ini umpama bermusafir untuk menuju ke kampung akhirat yang kekal. Perjalanan yang harus ditempuhi penuh ujian dan jalan yang berliku. Mungkin kita rasa lemah namun jangan berputus asa, jangan sedih dan jangan gundah. Jangan lekas tunduk pada sebuah kegagalan. Untuk memulakan langkah yang pertama itu tidak mudah, tetapi langkah yang pertama itulah yang bakal membawa kepada beribu- ribu langkah yang lain. Wa qutril khoto' wed dillinaa 'ala hilminaa - our many footsteps will lead us to our dream (Ehlam ma3ya - Hamza Namira)

Ingatlah bahawa sesungguhnya, Allah SWT tidak akan sekali- kali mengsia- siakan orang yang berusaha untuk menjadi baik.

Jangan takut kiranya kita tidak mendapat tempat di sisi manusia,
Tapi takutlah andai kita tidak mendapat tempat di sisi Allah swt kelak!

Mari berusaha, liLLAHI taala.

Mari beramal, untuk bekalan hari akhirat.

Mari mempersiapkan diri, untuk maut yang bakal menjemput bila- bila masa.

Mari menjadi hamba. Allahuakbar!

Wallahu'alam...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails