Sunday, January 8, 2012

Ahad kita VS ahad Bilal bin Rabah

Sudah hampir 1130 tengahari, begitu cepat masa berlalu sedangkan masih banyak lagi urusan yang belum langsai. Radio ikim masih setia menemani semenjak dari usai dhuha tadi, walaupun ditinggalkan untuk urusan- urusan yang memanggil. Slot carta 20 yang jarang- jarang sekali diikuti dibiar terus mengumandangkan lagu- lagu yang mendidik untuk hari ini sehingga bateri handsetnya mati sendiri.

Ya, untuk hari ini. Hari yang tiada orang di rumah menemani melainkan bayang- bayang. Itupun sekadar menyapa suluhan cahaya matari yang curi- curi menerobos masuk. Memilih berkat wudhu’ sebagai pelindung, persediaan untuk mentadabbur atau menghafaz ayatul Quran di celah- celah urusan. Sedang melatih diri untuk istiqomah dengan wudhu’ sepanjang hari dan sebelum tidur, sedikit demi sedikit. Orang lain telah lama mempunyai amalan mulia ini sedang aku baru mahu belajar bertatih. Selalunya tidak istiqomah, lama- lama lupa. Moga kali ini tidak lagi. Moga diri turut memperoleh pandangan sayang Allah s.w.t atas keberkatannya, juga semoga urusan demi urusan yang beratur memperoleh nilai kebajikan, insya Allah.


Lantai sudah selesai disapu dan dilap. Air panas untuk dijadikan minuman pagi sudah lama menjadi suam tanpa diraikan. Ruang tamu selesai disusun rapi. Nasi usai ditanak. Karpet- karpet bersidaian di pagar luar, menanti untuk disesah ‘kedegilan’ habuk- habuk debu yang masih melekat raket badminton. Langit cerah membiru dengan awanan putih yang menambah ceria. Semoga hari ini tidak bertepatan dengan peribahasa ‘harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari…!’. Pakaian masih setimbun untuk dilipat. Dan menunggu mesin basuh menyudahkan tugasannya membilas pakaian untuk turut dijemur di bawah panasnya mentari ahad.

Ahad dan mentari, jika direnungi ada membawa ceritanya. Mengembali ingatan pada kisah sengsara sahabat Rasulullah s.a.w yang sangat terkenal. Kisah Bilal bin Rabah yang disiksa dibakar di bawah terik mentari. Dihempap dengan batu besar di tengah- tengah padang pasir panas namun demi Allah s.w.t, akidahnya tidak goyah. Imannya teguh bahkan bertambah dengan seksaan, teramat yakin dengan kekuasaan Allah yang Esa. Ahad, ahad, ahad tetap kekal dilidahnya. Bilal disiksa kerana memilih jalan kebenaran, satu- satunya agama yang diiktiraf.

Sedangkan generasi kini, anak- anak kita. Mereka turut disiksa hari ini. Ahad, ahad, ahad turut disebut dalam keadaan lemah tak berdaya. Bila? Bila dikejutkan untuk bangun solat subuh. Liat sekali untuk bangun pada cuti hujung minggu hari ahad, diseksa oleh nafsu dan rasa mengantuk. Kasihan. Kasihan sekali melihat kelemahan ini. Jika ingin dinilai kekuatan ummah, lihatlah pada anak- anak mudanya. Bakal runtuh usaha yang dibina, andai yang kuat hanya pada kata- kata sedang bukan pada anggota. Actions speak louder and loudest than words.

Cuba dibandingkan dengan diri sendiri, rasa malu datang bertumpuk- tumpuk di kepala. Diri masih banyak yang kurang,malah terlalu jauh dari kalimat sempurna yang tak layak diimpi. Hendak dibanding dengan sahabat yang mulia Bilal bin Rabah? Tak usah! Tanpa seksaan yang berat, bahkan berada di zon yang selesa sentiasa mengundang alpa juga leka. Terlalu banyak amanah juga tanggungjawab yang gagal, belum disempurna menuntut untuk diurus sebelum dinilai Allah kelak. Belum dihitung pula yang ditinggal, dilaksana sambil lewa mahupun dilangsai tanpa ilmu cukup di dada. Tiada nilainya amal andai tiada ilmu mengenainya. Hancur dan gugur. Sedang ahli ibadah yang diberi peluang beribadah selama 1000 tahun tanpa henti, bila dihadapkan di hadapan Allah masih merasa menyesal dan rugi kerana tidak melakukan itu dan ini. Inikan aku! Ampunkan hamba-Mu yang hina ini ya Allah!




Nasihat asy-syahid Imam Hassan al-Banna,

Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak 
daripada masa yang ada pada kita, 
oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya 
dan ringkaskanlah perlaksanaannya.

Usai satu- satunya peperiksaan bertulis untuk semester ini, kuperoleh seminggu kelapangan. Banyak urusan mahu diselesaikan. Kumerancang itu dan ini dan berdoa semoga, semoga, semoga! Namun segalanya kan sia- sia andai semangat hanya sebentar membara. Seperti cepatnya kita lupa pada kezaliman penindasan pada saudara- saudara kita, umat islam yang dianiayai kafir laknatullah di serata dunia Palestin, Bosnia, Afghanistan dan seumpamanya. Semoga, Allah s.w.t berkati urusanku dan urusanmu, dan semoga ia membawa manfaat pada semua insya Allah. 

Ihfazna ya Rabb, Allahumma ameen…!

4 comments:

Anonymous said...

Ustazah terrr.. menyepi leteeeeeewww =)

~ hantu

Anonymous said...

ade je, ustaz hantu (:

Anonymous said...

Haah, baru lepas mengajar hantu-hantu kat sini

hantu-hantu ni dia kurang ajar kit =) heee

Anonymous said...

:D

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails