Thursday, October 7, 2010

Tahan jiwamu dengan kesabaran.

Sekarang ini musim praktikal, assignments dan musim peperiksaan akhir sedang berputar- putar serentak. Seumpamanya serangan tornado yang menerbangkan segala susun atur kehidupanku. Jika dahulunya aku mampu menari- nari gembira bersama sang butterfly bak kata orang putih dan juga yang tak putih, kini aku perlu berlari tanpa sempat menoleh ke belakang. Berlari menandingi masa, walau kutahu aku takkan pernah bergelar juara.

Keluarku seawal 4 pagi meredah kesejukan dan gelita pagi. Dan pulangku selewatnya 11 malam atas urusan- urusan yang begitu menuntut masa 24 jam sehari. Lalu aku tergapai- gapai untuk menunaikan tanggungjawab- tanggungjawab lain sebagai seorang pelajar, pelatih yang sedang praktikal apatah lagi sebagai hamba Allah. Kesemuanya perlu diseimbangkan tanpa menjadikan yang satu sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan satu tanggungjawab yang lain. Kesibukan ini benar- benar menguji kekuatan jiwa. Jiwa yang tidak kuat boleh membuatkan kita mudah hilang punca. Jiwa yang rosak menjadikan kita binasa. Jika tidak pandai mengawalnya, kita akan menjadi hamba kepada kehidupan. Melutut tanpa mampu mengangkat kepala kepada penjuru dunia yang memerhatikan, menjadi hina hatta pada pandangan sang ulat. Begitu juga masa, meskipun kita tidak boleh menggenggam ia selamanya, tapi kita boleh merancang perjalanannya. Mahu ke kirikah, atau ke kanankah. Mahu digunakan separuhnya untuk meningkat ilmu kah, atau diinfakkan semuanya untuk merayu kasih sang Pencipta kah. Atau mungkin juga ada yang memilih untuk bersikap mesra pada masa, melambai pemergiannya seolah ia tetamu yang akan datang menziarahi kembali! 


Sungguh, benarlah Allah yang Maha Agung yang berfirman dalam surah al-Asr ayat 1-2,

“Demi masa [1] sesungguhnya manusia itu dalam kerugian [2]”

Lalu di saat tersandar kelelahan, aku bertanya tanpa suara. ‘Sanggupkah aku mengalah pada percaturan?  Sanggupkah aku melompat sendiri ke dalam lembah kerugian?‘ Balasan jawapan yang kuterima juga dalam bentuk tanpa suara, tanpa bunyi. Hanya detik degup jantung dan kembang kuncup paru- paru mata yang berlumba- lumba cuba menjelaskan. Hanya kerdip kelopak mata dan minda yang berputar- putar yang cuba mencari alasan. Lalu, aku tidak mengerti apa yang cuba disampaikan. Ah, mana mungkin aku bisa fahami! Biar berpuluh tahun mereka setia bersamaku, tidak pernah lenggok bahasa mereka ku ambil tahu. Terhijab di dimensi yang berbeza membataskan. Yang kutahu, bila aku sedih, mereka menangis bersamaku. bila aku gembira, mereka ketawa bersamaku. Yang kutahu, mereka anugerah tuhanku yang tidak ternilai. Dan yang kutahu dari janji Rabbul Izzati, mereka akan berbicara lantang pada hari pengadilan nanti. Memberi kesaksian pada segenap amalanku. Menyaksikan aku adalah seorang yang gagal di dunia. Alangkah! Apakah mungkin kita berjaya di akhirat kelak, jika di dunia inipun kita telah gagal?

Tiba- tiba aku merasa takut dengan fikiranku sendiri. Bagaimana jika mereka mengadu pada Allah kelak, bahawa aku pada waktu ini, pada saat ini sedang mengalah pada kesibukan pekerjaanku? Bagaimana jika mereka mengadu tentang aku yang sedang menghina diri, menidakkan keupayaan untuk menjadi raja pada kehidupanku sendiri? Bagaimana akanku tanggung malu yang tidak terperi jika mereka mengejek akan ikrarku yang mahu berjuang di jalan-Nya, kiranya saat dihunjam ujian ringan ini pun aku mula berkira- kira untuk mengibarkan bendera putih?

people never plan to fail, but they failed to plan

Tidak ada manusia yang waras mahu menjadi orang yang gagal. Tidak akan ada manusia berakal yang mahu mengikuti jejak manusia yang sesat arah tujunya. Seperti juga aku tidak mahu mencipta langkah songsang yang bakal menjatuhkan aku ke longkang nista dunia. Wahai penghuni bumi, bentangkanlah sehelai kain putih di hadapanmu. Bungkuskan dunia beserta kesibukannya, dan lontarkan ia sejauhnya. Jangan sesekali membiarkan ia mendarat di hatimu. Ini perjuangan kita. Ini kehidupan kita! Belum masanya untuk kita mengalah, bukan masanya untuk kita mengsia- siakan kesempatan yang diberikan Allah kepada kita. Berusahalah dan bermohon pada Allah moga kita dikurniakan kesabaran kental dalam menempuhi ujian-Nya. Pengharapan yang tinggi kepada Allah berserta kesabaran itulah sebenar- benar punca kekuatan jiwa.

وَمَا أُعْطِيَ أَحَدٌ عَطَاءً خَيْرًا وَأَوْسَعَ مِنَ الصَّبْرِ

"Dan tidak ada suatu pemberian yang diberikan keada seseorang, yang lebih baik dan lebih melapangkan dada daripada kesabaran" 
[HR Muslim no. 1745]


Kesibukan itu benar- benar menyesakkan kehidupan, walaupun engkau dianugerahkan dunia seluas samudera. Latihlah jiwa untuk kuat menghadapinya, tapi jangan sampai leka dan tenggelam.

2 comments:

l bro m said...

busy2 kan.. sape dpt fight bsy moga Allah bersama...

Tapi kan, nabi lagi sibuk
selama mnyibukan diri ustazah =)

Anonymous said...

aih.. speechless hih :)

tenkius.
mhon tunjuk ajar, sy ini bru bertatih mengenal dunia.

~asrar

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails