Wednesday, December 15, 2010

Coretan tak bernama.

Kamu yg terlalu ego! bantah hati kecilku, hanyut dilarut emosi.

Bukan hanya sekali, bahkan hampir setiap hari. Sehinggakan aku kadang- kadang menjadi keliru dengan diri sendiri. Sekeping hati itu kadangnya bagaikan terlalu larut dengan dunia, bagaikan ia terlupa siapa aku. Berlagak dan bersikap sombong bagaikan dialah sang raja. Dan aku memilih untuk berlagak seperti biasa. Diam. Sekadar memilih untuk membutakan mata. Memekakkan telinga. Mematikan bicara.

Pentingkan diri!” sergahnya lagi, masih tidak berpuas hati.

Dan kali ini aku tidak dapat menahan tawa kecil yg tergetus. Kelakar, bilamana aku tidak dapat mengawal petah bicaranya. Lucu apabila becok ia berhujah dibantu oleh sang nafsu, cuba mengelirukan akalku tanpa mengenal erti penat atau jemu. Lalu tersengih aku tanpa suara, satu tabiat yang tidak dapat aku tinggalkan semenjak ia mula berputik di awal usia remajaku. Inilah juga antara perkara- perkara mengenai diri yg memang menghairankanku sedari dulu; bilamana aku tidak dapat menahan diri dari ketawa apabila dimarah dan dileteri!  Tidak kira samada didenda berdiri kerana menghilangkan tugasan sekolah, dileteri dan diambil nama oleh ketua lembaga disiplin pelajar kerana mencuri- curi masuk café sebelum kelas prep malam bermula sehinggalah kepada dileteri pensyarah kerana jarang menanyakan soalan di dalam kuliah, pasti aku tidak dapat mengelak dari menundukkan wajah bagi menyembunyikan sengihan. Parah! Mujurnya kali aku bersendirian lagi di ruang tamu sebuah rumah teres bertingkat dua itu. Ahlul bait yg lain sudah lama hanyut dibuai mimpi indah barangkali, setelah penat menggasak menghafal pelbagai fakta demi beberapa helai kertas ujian yg bakal dihadapi hujung minggu ini.

Aku memilih untuk tidak melayan celoteh hati, dek masa yang sedang berlalu laju ini lebih mencuri penumpuanku. Setiap saat masa yang berlalu itu suatu amanah, dan aku tak mahu tergolong bersama orang- orang yang rugi. Aku tidak mahu terpinga- pinga tanpa alasan, bila saatnya Allah s.w.t mempersoalkan ke mana habisnya waktu usia kuluangkan di hari perhitungan kelak, tatkala tiada perlindungan lain yang ada selain dari segenap pengharapan mendapat keampunan dari Dia, Raja Sekalian Alam itu.

Oh, tuhan!

Mahu rasanya kucampak keluar sekeping hati ini, andai sahaja aku bisa lakukan sewenang mahuku.

Aku letakkan Allah s.w.t di atas segala puncak cintaku. Aku tinggikan perisai perasaan maluku. Lalu kujulang rasa malu, malu untuk melebih- lebihkan rasa cinta pada nikmat- nikmat yang telah Dia kurniakan padaku. Aku dahulukan rasa maluku, menahan rasa dan melupakan getar rasa pada hamba-Nya yg tidak halal bagiku. Dan aku tenggelamkan diri dalam kesibukan segenap urusan semata- mata untuk mengalih fikiran. Aku rela digelar egois hanya kerana aku mengejar selautan cinta hakiki yg mahal tiada tandingan, berbanding sepicing cinta fitrah yg mungkin sahaja dilarut nafsu. Jika inilah yg dinamakan sebuah keegoan, maka aku akur sebagai seorang yg ego.

Aku letakkan Allah s.w.t di atas segala puncak citaku. Lalu aku berusaha menumpukan perhatian segenapnya pada pelajaran, menguruskan hal- hal persatuan sebaik yg termampu, mentadbir perjalanan sebuah kehidupan yang diamanahkan. Aku gadaikan sebuah persahabatan yg cukup berharga, bilamana aku menyedari diri mengalih perhatiannya dalam mengejar puncak citanya, dan begitu dia menjadikan perhatianku teralih seketika dari urusan asal mengejar puncak citaku. Aku hentikan segala medium yg boleh menjadi perantara untuk kami berkomunikasi. Aku memilih untuk menghilangkan diri tanpa meminta pendapatnya, menentang kemahuan hatiku. Maka jika inilah yg dinamakan pentingkan diri, maka biarlah aku dilabel sebagai seorang yg pentingkan diri.

Ya.

Aku egois, dan aku seorang yg pentingkan diri!


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails