Sunday, April 7, 2013

Yang mudah bukan untuk dipermudahkan.



Siapa jangka, tatkala hati merintih kerana tidak mempunyai teman yang sudi mengingatkan dan menegur diri ini, teguran Allah terus tiba.

Mengingatkan padaku bahawa Dia sentiasa ada, sentiasa mendengar, sentiasa melihat apa yang kukerjakan.

Melawat kembali salah satu blog yang saya tadbir bersama rakan- rakan namun telah lama tidak dijenguk, bacaan hadith- hadith berkumandang mengusik sayu perasaan. Memberi peringatan. Hati sayu, mencari- cari di mana puncanya atau setidak- tidaknya mana- mana pluggin yang aktif. Tidak ketemu.

Namun saya sedar, ini peringatan Allah pada hati manusia hina ini yang sering beralasan dan mencari sekecil- kecil ruang untuk ingkar. Astaghfirullah al-azim. Astaghfirullah al-azim.
Bantulah aku menjadi hamba-Mu yang taat ya Allah!

Sunday, January 8, 2012

Ahad kita VS ahad Bilal bin Rabah

Sudah hampir 1130 tengahari, begitu cepat masa berlalu sedangkan masih banyak lagi urusan yang belum langsai. Radio ikim masih setia menemani semenjak dari usai dhuha tadi, walaupun ditinggalkan untuk urusan- urusan yang memanggil. Slot carta 20 yang jarang- jarang sekali diikuti dibiar terus mengumandangkan lagu- lagu yang mendidik untuk hari ini sehingga bateri handsetnya mati sendiri.

Ya, untuk hari ini. Hari yang tiada orang di rumah menemani melainkan bayang- bayang. Itupun sekadar menyapa suluhan cahaya matari yang curi- curi menerobos masuk. Memilih berkat wudhu’ sebagai pelindung, persediaan untuk mentadabbur atau menghafaz ayatul Quran di celah- celah urusan. Sedang melatih diri untuk istiqomah dengan wudhu’ sepanjang hari dan sebelum tidur, sedikit demi sedikit. Orang lain telah lama mempunyai amalan mulia ini sedang aku baru mahu belajar bertatih. Selalunya tidak istiqomah, lama- lama lupa. Moga kali ini tidak lagi. Moga diri turut memperoleh pandangan sayang Allah s.w.t atas keberkatannya, juga semoga urusan demi urusan yang beratur memperoleh nilai kebajikan, insya Allah.


Lantai sudah selesai disapu dan dilap. Air panas untuk dijadikan minuman pagi sudah lama menjadi suam tanpa diraikan. Ruang tamu selesai disusun rapi. Nasi usai ditanak. Karpet- karpet bersidaian di pagar luar, menanti untuk disesah ‘kedegilan’ habuk- habuk debu yang masih melekat raket badminton. Langit cerah membiru dengan awanan putih yang menambah ceria. Semoga hari ini tidak bertepatan dengan peribahasa ‘harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari…!’. Pakaian masih setimbun untuk dilipat. Dan menunggu mesin basuh menyudahkan tugasannya membilas pakaian untuk turut dijemur di bawah panasnya mentari ahad.

Ahad dan mentari, jika direnungi ada membawa ceritanya. Mengembali ingatan pada kisah sengsara sahabat Rasulullah s.a.w yang sangat terkenal. Kisah Bilal bin Rabah yang disiksa dibakar di bawah terik mentari. Dihempap dengan batu besar di tengah- tengah padang pasir panas namun demi Allah s.w.t, akidahnya tidak goyah. Imannya teguh bahkan bertambah dengan seksaan, teramat yakin dengan kekuasaan Allah yang Esa. Ahad, ahad, ahad tetap kekal dilidahnya. Bilal disiksa kerana memilih jalan kebenaran, satu- satunya agama yang diiktiraf.

Sedangkan generasi kini, anak- anak kita. Mereka turut disiksa hari ini. Ahad, ahad, ahad turut disebut dalam keadaan lemah tak berdaya. Bila? Bila dikejutkan untuk bangun solat subuh. Liat sekali untuk bangun pada cuti hujung minggu hari ahad, diseksa oleh nafsu dan rasa mengantuk. Kasihan. Kasihan sekali melihat kelemahan ini. Jika ingin dinilai kekuatan ummah, lihatlah pada anak- anak mudanya. Bakal runtuh usaha yang dibina, andai yang kuat hanya pada kata- kata sedang bukan pada anggota. Actions speak louder and loudest than words.

Cuba dibandingkan dengan diri sendiri, rasa malu datang bertumpuk- tumpuk di kepala. Diri masih banyak yang kurang,malah terlalu jauh dari kalimat sempurna yang tak layak diimpi. Hendak dibanding dengan sahabat yang mulia Bilal bin Rabah? Tak usah! Tanpa seksaan yang berat, bahkan berada di zon yang selesa sentiasa mengundang alpa juga leka. Terlalu banyak amanah juga tanggungjawab yang gagal, belum disempurna menuntut untuk diurus sebelum dinilai Allah kelak. Belum dihitung pula yang ditinggal, dilaksana sambil lewa mahupun dilangsai tanpa ilmu cukup di dada. Tiada nilainya amal andai tiada ilmu mengenainya. Hancur dan gugur. Sedang ahli ibadah yang diberi peluang beribadah selama 1000 tahun tanpa henti, bila dihadapkan di hadapan Allah masih merasa menyesal dan rugi kerana tidak melakukan itu dan ini. Inikan aku! Ampunkan hamba-Mu yang hina ini ya Allah!




Nasihat asy-syahid Imam Hassan al-Banna,

Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak 
daripada masa yang ada pada kita, 
oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya 
dan ringkaskanlah perlaksanaannya.

Usai satu- satunya peperiksaan bertulis untuk semester ini, kuperoleh seminggu kelapangan. Banyak urusan mahu diselesaikan. Kumerancang itu dan ini dan berdoa semoga, semoga, semoga! Namun segalanya kan sia- sia andai semangat hanya sebentar membara. Seperti cepatnya kita lupa pada kezaliman penindasan pada saudara- saudara kita, umat islam yang dianiayai kafir laknatullah di serata dunia Palestin, Bosnia, Afghanistan dan seumpamanya. Semoga, Allah s.w.t berkati urusanku dan urusanmu, dan semoga ia membawa manfaat pada semua insya Allah. 

Ihfazna ya Rabb, Allahumma ameen…!

Ke mana hala kita?

Saya membesar dengan lagu- lagu nasyid dari kumpulan Rabbani. Namun yang saya kenal tuan dan cam suaranya allahyarham Ust Asri seorang je. Sambil- sambil mebuat revision di pagi jumaat untuk final exam paper petang nanti, salah satu zikir yang dialunkan oleh allahyarham mengusik naluri. Hilang gementar untuk exam, diganti gementar untuk terus melalui ujian dalam kehidupan ini. Allahyarham alhamdulillah sudah selamat ke destinasi sedang kita- kita ini masih dalam perjalanan. Jalan saya entah masih jauh entah dekat tidak terduga. Bekalan entah di mana lagi, amal pula tak seberapa. Entah ada ke tidak amal tu sebenarnya. Berada di dalam zon selesa kadang- kadang membuatkan kita terleka akan tujuan asal penciptaan.




Ya andai ditanya pasti- pasti sahaja kita menjawab sekalian jin dan manusia itu diciptakan tidak lain melainkan untuk beribadat dan menyembah Allah yang Esa. Tapi minda tidak sedar kita mementingkan kerja, pelajaran, keluarga dan dunia keseluruhannya. Bahkan minda tidak sedar itu yang lebih power, mempengaruhi kehidupan kita. Astaghfirullah.

Bila ujian di depan mata lebih membuatkan kita gementar sehingga kita lupakan akhirat. Apapun, jangan sehingga kesibukan membuatkan kita lupa pada Allah, itu satu pesanan yang saya tetap akan pegang sehingga akhir hayat. Moga Allah swt tetapkan hati saya, hati kita semua untuk terus alert dan istiqomah di  jalan-Nya. Amin, amin amin ya Rabb.

Ya Allah ya Muqollib al-qulub, tsabbit qulubi ‘ala diiniKa!

Saturday, November 12, 2011

Satukan yang berbeza, jangan beza- bezakan yang satu.

‘So many things are wrong with me.’

 Begitulah fikiran yang sering menepuk-nepuk benak, seakan meminta dikasihani. Yang aneh, pada siapa simpati mahu dipinta bilamana kata- kata sedemikian hanya dibiar berhenti di situ? Mengetuk dan menjerit sekuat hati sebelum berlalu pergi, yang pasti akan datang kembali. Motivasi kurang, dan makin berkurangan. Cita- cita berlari ke sana ke mari, belum dapat- dapat digenggam.

Waktunya otak dikerahkan untuk bekerja, ia seakan lupa tujuan. Namun bila kepala direbahkan, berkoyan- koyan pula isu itu dan ini dicurahkan di atas bantal kekabu usang itu!

Tidak faham?

Hulurkan tanganmu, turun ke duniaku. Andai kamu lepaskan, akan saya tinggalkan. Tiada upaya pada saya membuatkan anda memahami, melainkan dengan izin Allah s.w.t jua. Dan juga dengan daya usahamu sendiri.



I’m scared but I can’t show my fears. Banyak yang digusarkan, perkara yang bakal datang dan tidak kurang juga yang telah lepas berlalu pergi. Kesemuanya, setiap pilihan yang dilakukan, akan disoal dan diminta pertanggungjawaban. Pernahkah kamu mendengar kata- kata, ‘hiduplah sebagaimana jua yang kamu mahukan dan lakukanlah apa jua yang kamu ingini, kelak di akhirnya nanti kamu jua yang akan menanggungnya’?

Dosa orang lain tidak akan dipikul oleh orang lain, itu benar sekali. Namun bersyarat. Syaratnya ialah kamu telah MELAKSANAKAN hak kamu ke atas individu tersebut, yakni menegurnya, memberi peringatan kepadanya, menasihatinya, mengajaknya dan menghalangnya. Atau apakah kiramu, kubur masing- masing maka azabnya terasing? Usah terlalu cepat melepaskan nafas lega, bahkan orang tersebut bakal mendakwa kamu kembali di akhirat kerana tidak bersungguh- sungguh menyelamatkannya.

Bukti yang kamu perlukan, selain bukti lisan dari anggota tubuhmu, jua dari catatan amal dua malaikat yang menemanimu semenjak kamu lahir sehingga kau menarik nafas terakhir. Belum jua dikira dari sudut sahihnya amalmu, yang seandainya amalmu dimulakan dengan sebab takut pada Allah maka dengan izin Allah jualah kamu akan selamat pada hari yang tiada satu penolong pun yang dapat menolongmu melainkan Dia yang Maha Kuasa.

Atas banyaknya hak- hak ke atas manusia yang gagal aku tunaikan, tidak kurang kewajipan yang banyak sebagai hamba pada Allah yang tidak mampu aku sempurnakan, hingga malam- malamku sukar terlena! Ya Allah, ampunkanlah dosa- dosaku!

Dan ada yang mengatakan begini, ‘soal memilih kerjaya masa hadapan, tiada kaitan dengan dosa pahala!’
Ini mengganggu fikiran saya berhari- hari.

Yakinkah? Lalu satu demi satu hal dihurai sendiri, seumpama membuka pintalan bebenang dari gulungannya. Setiap saat dalam hidup ini, kita sentiasa perlu membuat pilihan. Mahu buat atau tak mahu buatkah. Mahu teruskan atau tak mahu teruskankah. Mahu yang itu atau yang inikah. Mahu sekarang atau kemudian sahajakah.

Bukankah begitu?

Dan setiap pilihan itu bersama tiap deru hela hembus nafas kita, bersamanya tidak lari tidak dari persoalan dosa dan pahala. Apakah perkara yang kita lakukan itu membawa manfaat atau maksiatkah? Adakah ia memberi untung waktu atau mengsia- siakannyakah? Adakah urusan yang kita lakukan itu, membantu manusiakah atau mungkin mengheret mereka turut terleka?

Saya tidak mengatakan diri dan cara fikir saya betul, manakala orang lain pula salah. Different people came with different perspective of view. Saya mungkin menggunakan pemikiran dari sudut 135 darjah, manakala orang lain pula melihat dari 359 sudut lain pula. Saya menilai dengan pengetahuan yang hanya sesudu, manakala orang lain menilai dengan dengan pengetahuan mereka yang sebesen atau selautan. Orang lain menilai dari tapak jejaknya mereka selaku alim ulama, golongan professional, ustaz ustazah, professor, cendikiawan negara, doktor dan angkasawan, sedang saya? Hanya orang perseorangan, yang dhaif pelbagai segi dengan akal yang masih kurang.

Saya hanya hamba biasa yang sedang dalam langkah- langkah kecil menuju pada-Nya dengan segenggam keyakinan yang ada. Segala yang baik datangnya dari Allah dan yang buruk pula disandar pada kelemahan saya sendiri, mohon maaf andai ada yang terhiris bicara. Moga Allah titipkan kekuatan dalam tiap langkah kaki kita ini, di dunia, juga di atas titian sirat al-mustaqim nanti!

Ilmu atas maksiat.

Adik menjenguk di sebalik pintu bilik, mengalih tumpuan dari urusan asal.

“Ayah panggil keluar, katanya hari ni tak nampak seharian.”

Hari ni bermula sesi persekolahan selepas tamatnya cuti hari raya qurban. Ayah, emak dan adik tiada di rumah sehingga ke petang, berada di sekolah masing- masing untuk mengajar dan belajar. Berlegar- legar di dalam rumah, akhirnya saya sendiri tidak betah kebosanan dan kembali berkurung di dalam ruang kamar. Bertemankan buku rujukan intensive care nursing untuk persediaan menghadapi test- test sebaik academic session bermula nanti, yang walau bagaimanapun masih belum terusik walau sehelai.


Untuk mengatakan sudah bosan belajar, tak sampai hati. Ilmu itu sesuatu yang bernilai, ianya cahaya yang tidak masuk ke dalam hati yang kotor. Jadi berkemungkinan yang lebih besar adalah jiwa ini pada ketika ini larut dengan maksiat sehingga menghalang kecintaan pada ilmu.

Saya sedang belajar untuk bercinta. Memupuk rasa kecintaan dalam proses menuntut ilmu. Menanam rasa cinta pada buku rujukan yang diletak di sisi supaya sentiasa dekat di hati, supaya ia tidak sekadar menjadi teman tidur. Ironinya juga, saya bukanlah jenis yang akur pada paksaan, meluat dengan rengekan. Saya belajar bukan semata- mata untuk menghafal dan mencurahkan keseluruhannya pada kertas peperiksaan. Dek kerana itulah negative pressure yang terhasil dari hari ujian yang semakin hampir jarang membantu untuk lebih gigih mengulangkaji pelajaran, sebaliknya kerapkali menjadikan saya lebih jauh.

Penyakit insomnia juga tidak banyak membantu, sebaliknya makin menambah tekanan. Dan makin menjadi- jadi. Leading me to a severely hectic life.

Hanya perlu bertenang pada saat ini.

dzikru Rabbi fi diqoti qalbi

Ada waktunya saya rindu pada saatnya mempunyai sokongan seorang sahabat, tapi dalam masa yang sama tidak akan sanggup melalui saat perit merasa pahit maksiat. Tercatat takdirnya haluan kita berbeza cara dan peringkat, namun hakikat perjuangan kita tetap sama yakni meraih redha Allah. Itu yang perlu kita pertahankan sehingga ke akhirnya, dan sehingga ke akhirnya juga saya titipkan doa tanda sokongan, pada awak dan semua pejuang di jalan Allah s.w.t.

Jangan pernah kesal akan ketentuan-Nya, terimalah dengan hati yang terbuka. Insya Allah (:

Sunday, October 23, 2011

Gumpalan kapas putih.

Wajah mendongak ke langit, mengagumi indahnya simpulan- simpulan awanan putih suci yang berpintal bak gula- gula kapas kegemaran masa kecil. Terasa mahu menarik mencariknya, geram.

Panorama seumpama inilah yang terlakar di benak. Dengan segala coret kata dan buah fikiran yang terkumpul, tersimpul rapi. Ditarik- tarik tidak terurai, dan ia menggencat segala niat untuk berkongsi. Rasa yang tak mampu terurai, dan kata- kata tiada yang bertepatan untuk digores pena. Dan yang menjadikan perbezaannya lebih ketara, tiada satu pun yang di atas sana boleh dibandingkan dengan betapa gelapnya apa yang tersimpan di dalam ini!

Pagi semakin menghampiri, namun sekeping hati ini masih belum mahu terlena. Insomnia semakin menjadi- jadi, dengan tekanan yang tiada pernah akan berkurangan, ditambah rencah dengan penyebab utama yakni segelas besar kopi campuran jenama terkemuka 3 dalam 1. Kesan sampingannya juga terkemuka terutama bagi golongan orang- orang dalam bidang perawatan kesihatan seperti kami yang saban waktu turun ke lapangan hospital berdepan para penghidap penyakit jasmani mahupun rohani. Padah yang diterima berganda, termasuk dari segi psikologinya.

Laut yang kelihatan tenang, tidak sesaat pula pantainya pernah lekang dari dilanda ombak.

Satunya yang menjadi penyebab utama kegusaran, andai yang dikejar sukar dirapat, yang dikendong melayang bertaburan ke merata tempat!

Selitan adab yang makin dilupakan.

Sekarang masih dalam cuti semester namun tanpa ‘mood’ bercuti semestinya. Mood bercuti hilang ditelan sesi praktikal di hospital dan dihakis 5 hari seminggu menjawat tugasan pembantu koperasi di salah sebuah sekolah di pantai timur tanah air. Enaknya apabila masa terasa pantas berlalu, apalagi dengan nikmat cuti hujung minggu pada hari jumaat dan sabtu. Tidak terhingga rasa syukurnya. Pasti dek sudah jemu merantau di negeri orang selama lima tahun.

Ah, baru lima tahun. Belum layak terima jubli perak sekalipun! He.

Abaikan. Itu lawak malam khamis yang suram, memilih untuk berkurung di ruangan kamar tidur sendirian. Memberi ruang selesa pada tamu ayah yang datang berkunjung sehingga lewat jam 11 malam, yang belum menunjukkan tanda mahu pulang. Maaf, bukan niat mahu kurang ajar atau tidak menghormati tamu. Tapi adab bertandang jangan sekali kita abaikan. Di kampung sebegini tiada istilah malam masih muda dan seumpamanya. Bincang urusan mustahak sekalipun perlu kena dengan cara, tempat juga waktunya.

Kepenatan bisa membakar menghakis kesabaran hati. Apalagi bilamana yang penat itu adalah minda. Sedikit memanglah sedikit, namun lama- lama akan jadi makin sakit.

Mata mengantuk minda tertutup.

Selamat malam, kawan. Rehatlah sesedap rasa anda.
Toobat lailatuka. Toobat lailatuki. Toobat lailatukum.

Saturday, April 23, 2011

Aku ini musibah untukmu!

Walau saya sayang sangat akan persahabatan ini tapi saya sangat takut persahabatan ini mungkin menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah. Saya berdoa semoga Allah memperjauhkan kami berdua andai kehadiran saya boleh membuatkan perhatiannya terpesong dari agama, atau kehadirannya akan membuatkan perhatian saya teralih dari agama. Walau bagaimana jua caranya. Maka sebab ini juga saya akan bimbang kiranya tidak mendengar khabar darinya dalam tempoh yang lama. Seminggu tanpa khabar berita itu cukup lama pada saya.

Bila dia dalam permusafiran, andai saya tak tahu dia tiba dengan selamat, saya akan cukup bimbang. Hati saya terlebih concern buat seseorang yang tak sepatutnya. Saya mula risau andai ini menunjukkan dia mula menjadi penting pada saya. Saya risau andai saya jatuh hati. Saya risau apakah inimembuktikan hati ini mula terusik dengan kehadiran- kehadiran sesiapa jua di sekeliling saya.


Maka saya mencari penyelesaian terbaik untuk menamatkan persahabatan ini. Bahkan selepas 2 minggu kami mengenali satu sama lain, saya telah mula runsing untuk mencari jalan yang terbaik untuk meninggalkannya. Saya taknak lukakan hati sesiapa, walaupun andai bukan dia sekalipun. Dan saya juga taknak hati saya terluka. 1 bulan bersahabat, saya hentikan persahabatan. Waktu itu saya cukup malu pada Allah, dan diri sendiri kerana bermuamalat dengan seorang ajnabi tanpa urusan. Tapi lama- kelamaan, persahabatan itu terjalin kembali.

Dan hari- hari saya berdoa supaya Allah memberi petunjuk kepada saya dalam hal ini. Rasa lemah untuk memutuskan sebuah persahabatan. Saya mencari alasan untuk memutuskan hubungan, namun tiada satu pun penyebabnya. Saya mengelak untuk menghubunginya langsung. Dia jarang menghubungi saya. Dan jika dia hubungi pun, untuk hal- hal yang penting. Itupun pada waktu- waktu yang saya tidak mungkin dapat membalas secara direct. Jarang sekali kami berhubungan hanya sekadar untuk bertanya khabar. Dia mengelak, dan saya juga mengelak.

Lama keadaan itu berterusan, sehinggalah mula timbul di hati saya rasa kesian. Saya taknak sahabat saya ini merasakan saya tidak menghargainya. Lalu jarang- jarang sekali, saya hantar mesej peringatan padanya. Dan satu langkah itu membuka kepada beratus ribu langkah yang lain. Kami berdua makin baik. Saya pula menipu hati sendiri, kononnya untuk bersahabat sehingga saya tahu perkembangannya. Saya nak tahu sampai ke mana hala tujunya. Saya taknak dia menyangka saya meninggalkannya hanya kerana dia belum mencapai kejayaan. 

Waktu itu saya sedar yang syaitan berjaya mencucuk hati saya. Saya sedar dia menjadi ujian kepada saya. Saya sedar saya juga mungkin akan menjadi musibah kepadanya. Saya sedar, keputusan di tangan saya. Samada mahu mencari redhaNya, atau mahu menempah nama ke neraka. Kepada Allah saya pulangkan hal- hal yang dirasakan tidak layak untuk saya pertikaikan dan akhirnya satu keputusan dicapai. Andai cinta Allah yang berada di puncak jiwa ini, maka perintahNya lah seharusnya saya akuri tanpa mempersoalkan. Andai saya sayangkan diri saya, ketenangan iman dalam jiwa ini yang harus dititikberatkan, apalagi bila ia hanya senipis kulit bawang. Juga andai saya betul- betul sayangkan sahabat saya, seharusnya kesejahteraan akhiratnya yang perlu saya beratkan. 

Masa terus berjalan, dan akhirnya dia memulakan karier pertamanya selepas setahun perkenalan kami. Sampai tahap ini, saya sudah pun berpuas hati untuk mengetahui perkembangannya. Maka cukuplah peranan saya sebagai sahabat. Hari pertama dia mula bertugas, malamnya saya menghantar mesej terakhir menyatakan niat saya yang telah lama terpendam. Tak perlu reply, kata saya.

Dan mulai saat itu, beban jiwa saya terangkat. Ringan dan lapang. SubhanaLlah… saya tahu itu tandanya saya telah buat keputusan yang tepat lagi diredhai Allah. Rasa ingin menangis itu mencapai pundak, tapi tiada setitis air mata pun yang keluar. Bagaimana harus saya menangis untuk sesuatu yang telah lama saya mahukan? Inilah bantuan Allah. Inilah petunjuk Allah. Inilah yang amat berharga melebihi nyawa saya. Jangan dirisau kehilangan sesuatu yang disayangi untuk mencapai redha Allah, kerana hati ini pasti tukarannya adalah sesuatu yang jauh berkali ganda lebih baik. Boleh jadi apa yang kita sukai itu bisa membawa keburukan kepada diri kita.

 Kadang- kadang saya juga terfikir, bagaimana penerimaannya kerana dia akur untuk tidak berkata apa- apa. Saya juga risau andai motivasi pada kariernya terganggu, apa lagi bila dia baru memulakan kerja pertama. Saya terlalu kejamkah? Saya mementingkan diri tanpa memikirkan keadaannya. Saya risau kesihatannya. Saya risau agamanya. Tapi semua fikiran tu saya ketepikan. Saya serahkan dia dalam jagaan Allah, maka pasti dia selamat dalam jagaannya. Doa saya tidak putus buatnya, walau sebagai sahabat yang mementingkan diri.

Tak pernah saya menyesali pertemuan kami. Tapi saya menyesali cara kami bermuamalat. Menyesali diri yang tidak menjaga ikhtilat walau sekadar berkongsi ilmu dan kata- kata nasihat.

Namun walau apapun, andai diulang sekali lagi masa ke belakang, yang pertamanya saya tetap akan melakukan perkara yang sama memutuskan persahabatan ini. Dan andai dapat diundur masa lebih jauh lagi ke belakang, mungkin, saya lebih senang untuk tidak pernah mengenalinya.





Maafkan saya sahabat, kerana terlalu jauh menyayangi kamu.

Sirah anbiya buat si kecil.

Wajah comel itu terjengul di sebelah, mengalih perhatian dari rutin mentadabbur kalamullah. Berpaling seketika dan menguntum senyuman tanda meraikan sebelum menyambung bacaan yang tergendala, surah Hud yang menghampiri pengakhirannya. Sangkaan sang pemilik jiwa yang masih suci itu bakal beredar ternyata meleset sama sekali, bahkan si kecil masih di setia di sisi menemani. Kebosanan barangkali kerana tiada teman sebaya kala menanti azan isyak malam itu.

“Bacakan ni,” tafsir al-Quran ditangan disua, disambutnya malu- malu sebelum di baca perlahan.

“Hmm… pandai,” pujian itu ternyata membeli hatinya, satu cara galakan berdasarkan kaedah psikologi. Bacaannya ternyata semakin lancar dan penuh minat. Apalagi bila si kecil mula beralih tempat dan selesa mengambil duduk di ribaan.

“Tahu tak siapa Musa dalam ayat ni?” si kecil menggeleng jujur. “Tahu tak nabi tu apa?” angguk.


Kisah Nabi Musa dan Firaun diceritakan, bagaimana Nabi Musa diutus Allah s.w.t untuk mendakwah Firaun, sang pemerintah zalim yang melampau mengaku diri sebagai Tuhan. Kisah ini turut tercatat dalam surah an-Nazi’at bermula dari ayat 17. Dan kemudian bagaimana ahli- ahli sihir berkumpul di pihak firaun untuk melawan nabi Musa lalu sihir mereka dikalahkan dengan mukjizat kenabian bilamana tongkat nabi Musa berubat menjadi ular yang besar setelah dicampakkan, sekaligus menelan sihir batil tersebut. Cerita dihentikan, sengaja merangsang rasa ingin tahunya. Dalam waktu yang sama, nama si bongsu yang berada nun jauh di Darul Naim sana menerjah ingatan. Dia juga pernah meminta diceritakan kisah anbiya’ seusai menyemak bacaan al-Qur’an di kala maghrib itu, dari kakaknya yang merangkap ‘bukan-ustazah’ yang garang ini memperbetulkan sebutan makhraj apalagi kesempurnaan tajwidnya. Dek kerana keterbatasan waktu cuti semester yang singkat pada kali itu, permintaannya hanya sempat dipenuhi seadanya dengan cerita kelahiran Nabi Isa dan kisah Maryam, dari surah Maryam juga berbekalan sedikit ingatan akan penerangan Ustaz Adli dalam ‘Wanita- wanita Dari Kacamata al-Quran’ di IIS Taman Setiawangsa tidak berapa lama sebelumnya.

“Lepas tu?” tanya si kecil penuh minat. Ah, kembali semula ke tahun 2011. Dan taktik berjaya…

Ahli- ahli sihir menyedari bahawa mukjizat nabi Musa adalah benar dan bukannya sihir yang mengabui mata, lalu mereka mengakui kenabian Musa sebagai pesuruh Allah, dan lebih- lebih lagi mengakui ketuhanan Allah s.w.t sebagai tuhan yang satu.
             
   ‘kami beriman kepada Tuhan yang Esa, tuhan sembahan Musa dan Harun!’

Pengakuan mereka yang tercatat dalam al-Quran ini membangkitkan kemarahan Firaun, yang seterusnya memburu Nabi Musa serta para pengikutnya untuk dibunuh. Mereka yang memilih jalan yang benar dihambat dengan tentera- tentera berkuda, sehinggalah mereka terperangkap di hadapan Laut Merah. Di hadapan mereka terbentang laut yang meluas, dan di belakang pula hamba- hamba penjulang kezaliman firaun makin merapat. Hanya Allah s.w.t yang disandarkan segala pengharapan, tawakal atas hidup dan mati mereka. Lalu bagaimana hendak dilintasi laut itu?

“Guna kaki?” teka si kecil solehah, anak pak bilal Surau Hj Ismail, Puncak Alam fasa 3 ni.

“Tak boleh, air tersangat dalam. Nanti tenggelam, mati lemas. Macamana nak redah laut tu?”

“Tak tahu. Macam mana?”

Waktu ini sekali lagi mengangkat perihal mukjizat nabi Musa. Tongkat yang sebelumnya dapat ditukar menjadi ular, dipukul ke laut Merah atas perintah Allah s.w.t. Dan dengan izin Allah, laut itu terbelah memberi jalan pada Nabi Musa dan para pengikutnya yang benar. Allah s.w.t sangat hebat lagi Maha Berkuasa. Hebatkan Allah?

Si kecil mengangguk mengiyakan. “Hebat!”

Teringat akan tazkirah pagi di radio IKIM.fm yang sempat didengar selepas subuh sebelum memulakan sesi praktikal di ICU sebelum ini yang mentafsirkan ayat sekaligus turut mengupas kisah pedoman yang sama. Kalau tidak silap, penceramahnya adalah Ustaz Zahazan. Wallahualam. Diceritakan, oleh kerana kaum bani Israel itu banyak songehnya, maka lorong yang terhasil untuk merentasi Laut Merah itu dengan izin Allah adalah sebanyak 12 lorong, setiap satu lorong untuk satu puak. Bahkan mereka boleh turut melihat sesama sendiri dari puak lain yang sedang melintas laut menggunakan lorong yang lain, menguatkan keyakinan bahawa mereka akan terselamat dengan bantuan Allah s.w.t, menepis sangkaan mereka bahawa puak lain selain mereka ditenggelamkan.

Cerita diteruskan, dan sesekali wajah ditoleh melihat reaksi si comel yang kian selesa di ribaan.

Firaun si pemerintah zalim terus mengejar di belakang, dan turut mengikut di belakang mereka merentasi laut tersebut. Dan setibanya nabi Musa dan pengikutnya tiba di sebelah daratan sana dengan selamat, Allah s.w.t menenggelamkan golongan firaun yang zalim ini yang ketika itu berada di pertengahan laut. Dalam keadaan Firaun yang tercungap- cungap kelemasan dan tatkala nyawa berada di tenggorokan, barulah dia mengakui keEsaan Allah s.w.t sebagai satu- satunya tuhan kepada sekalian alam. Namun detik itu sudah terlambat, taubatnya tidak lagi diterima. Lalu mayatnya dihanyutkan ombak lalu terdampar ke daratan, dikekalkan sehingga ke hari ini untuk dijadikan pedoman pada manusia- manusia selepasnya, dan juga pada kita yang masih hidup ini. Demikianlah berakhirnya kisah firaun yang takbur, sombong lagi bongkak sehingga melampaui batas mengakui diri sebagai tuhan.

‘Kita ni berusaha mencari apa rahsia ramuan manusia purbakala mesir sehingga dapat mengawet mayat firaun yang utuh. Tu, mayatnya sampai sekarang dipamer di muzium, boleh tengok kalau nak tengok walau selepas berabad- abad. Orang kita ni duk sibuk nak cari rahsia kehebatan proses pengawetannya. Tak payah! Itu semua janji Allah s.w.t untuk kekalkan mayat firaun dan harta- hartanya, pinggan mangkuk serta gelas emasnya, piramid pada zaman firaun. Itu semua kehendak Allah, untuk kita jadikan pedoman dan ambil iktibar dari kisah firaun ni’
Begitulah lebih kurang kata- kata seorang ustaz yang terakam samar- samar di ingatan. Hm, nilah akibat terlebih makan semut ni agaknya. Takpun tanda usia yang makin meningkat! (;

Saturday, April 2, 2011

Di mana kemahuan. Di mana keperluan.

Berjalan, berlari, berusrah dan bertalaqqi. Tiada benda yang lagi best dari hadir talaqqi dan attend tazkirah- tazkirah setiap minggu. Walaupun tidaklah sehebat dan seberuntung orang- orang yang dipilih Allah untuk menerima tarbiah dan didikan dari ulama- ulama yang mahsyur, atau menimba ilmu nun jauh di bumi anbiya tapi alhamdulillah, di mana berkesempatan insyaallah seadanya.

Alhamdulillah, besar sekali nikmat Allah yang dengan izinNya, di sini saya hari ni. Ditakdirkan untuk tinggal berdekatan dengan surau yang aktif dengan pelbagai pengisian untuk meningkatkan ilmu dan iman. Menerima peringatan demi peringatan, sebagai panduan untuk menuju hari akhir. Dan satu demi satu para pencinta Allah, rasul dan agamaNya hadir bersama- sama di jalan ini, sama- sama berkongsi kekuatan dan semangat untuk melalui jalan yang penuh cabaran ini.
Di sebalik kesibukan kebelakangan ini, iman menangis kerana kerapkali diabaikan. Emosi tidak menentu, tanda iman yazid wa yanqus. Tanpa ilmu, jiwa terasa kosong dan mati. Hidup hanya umpama bangkai bernyawa. Apalagi bila hati turut hitam dan mati. Kata seorang ulama Islam yang tersohor, orang yang tidak mahu menghadiri majlis- majlis ilmu dan tidak mahu mendengar tazkirah, seumpama orang itu telah mati dan afdhal dibacakan yasin ke atas ‘mayatnya’.

Hakikatnya hati kecil ini sentiasa gerun, andai melepaskan kesempatan2 yang diberi Allah untuk menimba ilmu dan menghadiri tazkirah. Apalagi bila dipermudahkanNya dengan pelbagai nikmat seperti saat ini. Tiada alasan untuk tidak hadir dengan nikmat tubuh badan yang sihat sempurna yang dikurniakanNya, dengan kesempatan masa yang ada, dengan jarak rumah Allah yang melampau  dekat dengan kediaman, tanpa alasan untuk tidak dapat hadir dek ketiadaan kenderaan, dengan nikmat keamanan dan keselamatan agama nyawa maruah dan harta, tanpa kekangan dari isu kewangan. Andai Allah menarik balik semua nikmat ini, betapa ruginya diri ini.

Hakikatnya diri ini tidak sempurna dan banyak cela. Namun ketidaksempurnaan ini tidak menutup sepasang mata ini untuk melihat betapa besarnya nikmat yang diberi ini. Rugi sekali orang yang lebih mencintai dunia, mabuk dengan internet, movie lagho dan fesbuk pelbagai. Hairan, apakah mata mereka buta, atau hati yang buta? Atau hati mereka ditutup Allah dari melihat jalan yang lurus kerana kesukaan mereka mencintai kelalaian itu lebih besar dari kesedaran untuk meraih nikmat di akhirat kelak? Astaghfirullah wa nau’dzubillah! Ingatlah wahai sahabat, orang yang cerdik adalah orang yg sentiasa berusaha untuk memperbaiki dirinya, manakala orang yang dungu adalah orang yang hanya berangan- angan kosong instead of berusaha memperbaiki agamanya. Allah tidak akan membantu kaum yang tidak berusaha membantu diri mereka sendiri.

Jangan hanya berkata ya dengan mulut, tapi tunjukkanlah ya itu dengan perbuatanmu.

Jangan berlebihan mengzahirkan di depan sahabatmu, tapi zahirkan kesungguhan hatimu di depan Allah SWT.

Hindarilah dari sikap munafik yang dizahirkan dari mulut dan anggotamu, bilamana yang sebenarnya di dalam hatimu hanya mahu kelihatan hebat di pandangan manusia namun hakikatnya hatimu keberatan untuk melaksanakannya.

Nau’dzubillah.

Tuesday, March 1, 2011

Minda kuat, dari jiwa yang kuat.

Bertalu- talu sokongan supaya be strong. Setiap hari, siang dan malam. Berderu- deru mesej sms masuk. Malah menerima 
ucapan mabruk berulangkali. Mabruk yang menuntut dibalas kembali dengan Allah yubarik fik. Mabruk atas kesedihan?

- ‘mabruk ya ummi simply cos u r very awak tabah’ kata si pengirim.

- ‘gundah di dalam hati, still boleh dikira tabah ke?’

- ‘hati y merasa gundah pasti tabah, hati y sentiasa belajar u tabah, hati y ALLAH tabahkn insyaALLAH.’

Saya ada Allah. Saya ada Allah…

***********************************

Eh, ade lecturer lah. Ade lecturer..!

Bunyi soksek pelajar- pelajar junior dari kelas sebelah yg dok mengintai di balik pintu. Saya buat boh layan. Layan blog lagi best. Mereka nak pulangkan kerusi yg dipinjam tapi takut nak masuk. Sebab ada lecturer sedang membuat kerja di depan laptop di meja lecturer. Kononnyalah. Saya je pun. He…

Hai mak, ayah… kira oklah ye walaupun anak- anakmu takde seorang pun yang mewarisi pekerjaan pendidik ni, tapi at least semenjak dari tingkatan dua, sampai di matrikulasi, sampailah sekarang pun saya selalu disalah anggap sebagai guru. Even staf pun boleh silap sangka saya ni ckgu.He, boleh tahanla ;p kang berkat kang jadik cikgu pulak saya. Tak pun tunggulah, nanti menantu- menantu cikgu la sat gi. Sorang dah cikgu. Saya punya eh, belum punya lagi. Tak taulah cikgu ke tak. haha. Sengal je kan. Ni gaya sedih ke gaya apa entah. Terngiang- ngian lagu rasul junjungan di telinga. Bait- bait yang mengungkap betapa tabahnya rasulullah S.A.W dalam membela agama, tidak mengira kecil besar sesuatu perkara. Sebesar- besar dugaan yang dihadapi, besar lagi Allah S.W.T. Maha hebat nya Allah. Maha Agung.

Ya Rasulullah,

Betapa kau tabah, walau dikeji dan dicaci. Walau dikasari dan disakiti. Tetap kau teruskan perjuanganmu, mengangkat perintah Allah s.w.t, sehinggalah sampai sekarang kami ini merasai nikmat berada dalam kebenaran walaupun telah lama kau pergi meninggalkan kami…

Allahumma solli ala sayyidina Muhammad…

Kawan kata, “kadang- kadang perkara kecil jangan kita fikir besar. Perkara besar jangan kita sangka kecil. Bersedih atas perkara yang kecil merupakan suatu kerugian. Maka biarkanlah perkara- perkara kecil ini, berlalu dengan perkara- perkara besar”

Ia tak besar. Dan ia bukan pula kecil. Hebatkan, bilamana yang meninggalkan itu lebih sengsara dari yang ditinggalkan? Seorang penulis yang saya kagumi pernah berpesan, ‘kamu akan dapati ia, bilamana kamu pernah merasakan kehilangan

Kita jangan pernah merasa lemah. Kerana sewaktu kita goyah, sedangkan kita masih berdiri tanpa sesiapa di sisi, ternyatalah kita sebenarnya kuat dan tabah. Hanya kekuatan itu dinafikan oleh fikiran kita sendiri. 

Jadi, usah bersedih, ya?

Saturday, January 22, 2011

Nasihat elektronik untuk sahabat.

Alkisah, seorang sahabat terasa gundah setelah memilih jalan yang diredhai Allah s.w.t, iaitu dengan memutuskan hubungan yang tidak halal lagi tidak diiktiraf oleh Tuhan yang menciptakan segenap isi alam, para penghuni langit dunia, apatah lagi tidak termaktub di dalam al-Quran. Lalu dia mengutus emel untuk meminta pandangan sahabatnya dan emel itu dibalas kembali, dan dikongsikan seperti di bawah. Secara peribadinya, ia sesuai dijadikan peringatan kepada generasi Islam pada hari ni. Moga bermanfaat.



"Sahabat sejati itu adalah orang yang bila kamu memandangnya, maka dia membuatkan kamu teringat perintah Allah swt. Apabila kamu melakukan kesilapan, maka dia membetulkan dan menyimpan aib mu. Apabila kamu ditimpa ujian, dia menghiburkan lara hatimu dengan janji Allah swt. Apabila kamu melupakannya, dia sentiasa menyebut namamu di hadapan Allah." 
- bukanustazah.

------------------------------------------------------------------------------ 

Alhamdulillah, setinggi- tinggi pujian pada Allah s.w.t, tuhan yg Maha Membolak balikkan hati manusia, yg masih sudi memberikan kita nyawa saat ini untuk memperbaiki diri dan kembali kepada jalanNya yg lurus. tanpa rahmat dan guide dari Nya, nescaya gelap kosonglah kita hidup dalam kehinaan dan kezaliman diri yg berterusan.

Wa3laikummussalam warohmatullahi wabarokatuh.

Kawe baru kelik ni, dalam 10 minit yg lepas. (loni 931pm). Aktiviti kawe 2,3 hari ni padat sikit, melarikan diri dari kesibukan dunia. tu jelah nak oyak, sebab musabab lambat sikit balas emel.

Alhamdulillah, demo doh siap amik keputusan yg sewajarnya siap2. Maksud kawe, kalu demo cerito ko kawe ni setakat nak suh tolong menjustifikasikan nok buat keputusan clash ko dop, ia akan jadik sia2 jah. Sebab nya, ORANG YG BERKUASA ATAS DIRI KITO ADALAH KITO SENDIRI. demo yg bkuaso atas diri demo. gapo hok kawe royak/suruh pun, belum tentu demo nok buat. Ni dari pengalaman la dengan saem2 puan la. Time ado masalah ngan pasangan, padahal tahu doh pasangan curang la, kurang ajarlah etc, maso tu kato nok clash la. Nangis 4,5 baldi. Raso menyesal la. Tapi then, baik smula. Pastu prob pulok. Pastu baik pulok. Gitula 4, 5 kali sampai kawe naik jemu. Cinta yg membutakan hati dan iman.

So cukup2la mukodimah, kes demo ni, takdop masalah. Demo dah siap buat keputusan, maka stick to that and dont ever turn back. Tindakan demo meme hok terbaik lah kawe oyak, sebab hok tu pun yg kawe akan suggest klau demo mitop pandangan kawe. Dan kawe tok sangko meme demo bersungguh- sungguh, ingat ko hok jenis main tarik tali jugop bena. 

Soal hati dan perasaan demo hok resah gelisah tu, tu meme jolo doh. Sebab iman dalam dado tuh duk gelisah, hidup dalam maksiat takkan raso tenang. Kito sedar, tapi kito turut jugop hawo nafsu, mako gitulah jadinya. Bukan maksud kawe memandang demo ni duk buat maksiat gitu gini, tapi pehe2 sendirilah gapo yg nk disampaikan. Sedangkan paro huffaz hok tengok puan pun bulih terlupo al-quran, apo lagi manusia biaso hok simpan ore puan dalam hati dio, dok ucap kasih syg saban malam hok tok halal. Maka setan pun biasa menjadikan wanita tu fitnah pado kamu, menjadikan ia maksiat. And hidup dlm maksiat ni bukan tang berkapel sajo, kawe maksudkn benda2 lain secaro umum pada semuo orang termasuk diri kawe sendiri nih.

dari segi psikologi nyo pulop, meme kawe secari peribadinya sero demo meme berkapel sebab saloh pertimbangan. nak test power bak kato ore, selepas hati terluko. tapi akhirnya sedar2 tindakan kito tu duk menjerut leher sendiri, makin lamo makin ketat. untung2 demo stop doh ikatan tuh, kalu dop silap2 mati terjerut almaklum mati kito bila2 maso sahajo. kalu time kapel ni meme tok napok silap dan celo. duk ucap kasih syg n care via sms n fb. kalu bulih nak oyak ke seluruh dunia yg ado ore sayang ko kito wah2. tapi tula, dalam tok sedar kito makin menamboh saham doso. bukan part lalai tu sajo, tapi jugop part mengiklankan maksiat. kito jadi ikon 'berkapel itu benda biasa bro!', 'keluar dgn makwe tu tak berdosa bro!' 'marilah bercinta bro!' etc etc. Fikir ore hok terikut dgn contoh kito walau kito xsuruh/ xsedar, kito dapat saham doso dio. n ore hok ikut dio. n pengikut2 seterusnyo. sampai kalu mati dlm kubur pun duk keno katok sbb saham ni berjujuk2 masuk. ni dio part bahayo hok kito tok sedar, astaghfirullah. (tok nanti tunggu dgn kapel jah, ni termasuk part pergaulan saem2 laki n puan jugok)

sahabatku, masalah demo alhamdulillah setel. 
----------------------------------------------------------------

1.hok tinggal loni hanyolah perasaan juga hasutan2 setan nak suh kamu menyesal. kadang2 meme kito akan kesal sebab sero best jah, sero sayang jah sesuatu benda tu. tapi ingatlah. kalu mung tinggal sesuatu kerana Allah, inshaallah, Allah ganti kan pado mung bendo yg berjuto kali mashaallah lebih baik, lebih hebatnyo. beruntung demo telah berlepas diri dari jalan yg penuh dugaan. anggap jelah demo tersesat seketiko dengan godaan dunio. doh Allah bg hidayah pado demo, dan kekuatan utkpilih jalan yg terbaik, maka genggam io kuat2. Bukan senang nok dapat, sekali demo lepas, mati hidup balik pun belum tentu bulih tebus peluang membaiki diri yg telah kita sia- siakan tu.

2.part ore nok fikir demo gitu gini tu, biarkan. tolak ketepi. bakulsampahkan. pandangan manusia bukan semuo bulih nak ambik kiro, dan kito takkan dapat penuhkan semuo kemahuan demo tu. yang penting bro, PANDANGAN ALLAH pada kita. Selama ni, gano Allah pandang kito? Atas segalo apo hok kito buat dan kito abai perintoh Dia dalam keadaan sedar melalukan doso. Allah yg maha penyayang ni masih sudi nak terimo dan tarik balik hati kito berpaling menghadapNya, itulah YANG TERBAIK. Maha Suci Allah, dan Dialah yg Maha Mengetahui segala perancangan. jangan terlalu risau dgn pandangan manusio sewaktu kito melakukan perkaro yg betul dan diredhai Allah, tapi risaulah pandangan manusia dan pandangan Allah sewaktu kito membuat onar tuh. Segalanya dalam kekuasaan Allah, Dialah yg berkuaso memuliakan dan menghinakan, merendahkan atau meninggikan martabat manusio.

3.part cinta dan jodoh pulop, jange risa lebih. Yang pertamo demo lelaki, banyok pilihan dan tinggal pilih jah. Hok demo pilih belum tentu akan bawok bahagio bkekalan, maka pilihlah perempuan PILIHAN ALLAH. istikharohla bro, demo jgn duk khuatir sgt. Allah tentukan jodoh kito nih, 500 tahun sebelum Dia ciptakan kito lagi. Banyok ayat dalam al-Quran yg Allah kato Dia ciptakan setiap sesuatu berpasangan. cumo lambat @ cepat jah. as of nok cari cinto lepas kahwin, itu jadikan matlamat tapi bukan syarat. Maksud dio, bagus terbaik tamam tamam (sempurna) doh tu niat utk bcinta lepas kawen. kiro lepas ni, walau siapo pon jodoh demo, demo keno harus blaja cinto dio. Tapi dalam pado itu, jgn duk ketat sangat dalam palo 'oh aku tokleh cari cinto sebelum kawen' demo, takut jadik syarat. sebab demo keno ingat, kene cari ore hok baik agamo dio, baik keturunan dio, utk kebaikan anok2 demo jugok. berlapang dadolah, maksudnya tak kenal mako tak cinta. Allah knows best for us. Apo yg kito benci tu bolehjadi membawa kebaikan kepada kito, dan apo yg kito suko tu bisajadi bulih bawa keburukan pada kito.

mana yg lebih baik, kebaikan di dunia semato tanpa kebaikan di akhirat, atau keburukan di dunia yg dijanjikan kebaikan dan terjamin di akhirat?

pilihlah.

clue: ingatlah dunia hanya sementaro. ingatlah mati tu bilo2 maso. kalu mati esok, kan tadop maknanya benda2 harto dan cinta ni semua? sebab tu dio kato, sesungguhnya kehidupan dunia ni tidaklah melainkan gurauan belako. maka beramallah kito utk bekalan mati kelak saat anggota badan terkunci dalam liang lahad menanti diadili dengan seadil- adilnya di depan Allah kelak. segalo hok kawe oyak dan tegur, tu reflek diri kawe jugok. sebagai peringatan utk kito dlm menghadapi ujian hok samo time2 mudo ginih. insyaallah makin lamo hidup, makin banyok pengalaman ore hok kito dapat kongsi, mudah2an kito akan matang dlm membuat pertimbangan untuk maso2 depan.

jangan sedih dan putus aso hanya kerano kito pernah tergelincir. setiap usaho, titis peluh dan air mato tu Allah kiro. takkan pernah ia jadi sio2. Allah takkan jemu dengan kito, melainkan setelah kito jemu utk berharap padoNyo. Letakkanlah segala pengharapan hanya pada Allah dan bukan makhluknya, dengan itu baru kito raso beban bahu kito ringan, sebab disandarkan pado kuasa Yang Maha hebat melebihi kudrat lemah diri dan jiwo kito.

saat ini kito sedar, betapo diri kito hok mulo tu lebih baik dari loni. takpo, mari kito samo2 kutip dan cantum balik diri kito hok mulo. episod hitam ni kito amik sebagai pengajaran dan ujian mogo lepas ni kito takkan mudoh2 terpedayo doh. Cenderung kepada berlawanan jantina tu biasa bro, tapi sebenarnya lebih kepada kito nok kenal. sifat mnusio ni curious n suko langgar apa yg dilarang. kenal pastu sero macam suko. and then pastu baru nyesal sebab sero puah, sero better jadi saem jah. awal2 jah excited nyo. mudo2 ni gitulah, sebab tu nok pilih saem keno pilih hok molek perangai. kerana keadaan akan mencorak tingkah laku kito, pengaruh kuat tuh. kalu pilih hok serong maka bagaimana mungkin kita bisa berjalan tegak? renung- renungkanlah :)

pergh, mitop maah terpanjang. semoga janji Allah swt yg kawe khabarkan dapat mengubat dan menjadi penawar hati demo. Sabarlah dalam setiap perkaro. Hati kito takkan tenang dgn berjauhan denganNya, mako jagalah hubungan dengan Dia. Jgn lupa tahajud dan puasa deh, itu sumber kekuatan jiwo. Doa senjata mukmin. 

tawakal lah pada Allah. bila saat hati meronta mahu mengikut nafsu, maka katakanlah padanya, 
bismillahi tawakkaltu 'alaLllah, wa la haula wala quwwata illa billah.
<dgn nama Allah aku bertawakal, tiada daya n kekuatan melainkan dengan Allah>

fi amanillah, moga dalam perlindungan dan rahmat Allah swt selalu.
salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam.

assalamualaikum warohmatullohi wabarokatuh wamaghfirotuhu waridhwanuhu... takbir, Allahuakbar!

wallahualam..

Sunday, January 16, 2011

Mencari erti sebuah kebaikan.

Seorang ustaz yang dirahmati Allah dalam satu kuliah tafsir al-Qur'an ada menyebut, "untuk menjadi muhsinin manusia yang baik yang berkecimpung dalam kebaikan itu, tidak mudah."


Sebak.


Tak mudah, tidak sama sekali. Sememangnya keinginan untuk menjadi baik itu ada dalam diri setiap insan hatta dalam diri seorang penjahat sekalipun. Yang membezakan samada dia mahu kekal dalam kejahatan atau mahu berubah untuk menjadi baik. Samada mahu mengikut nafsu melulu atau mengikut panduan Allah swt dan rasul. Apalagi Allah SWT memberi peluang bertaubat selagi nyawa kita belum sampai di ubun- ubun. Peluang untuk memperbaiki diri itu sentiasa ada bak kata orang putih juga orang tak berapa putih mahupun tak putih langsung, "There's always room for improvement


Namun begitu, akan hadir waktunya kita terpaksa berjihad melawan hawa nafsu, melawan rasa malas, putus asa dan jemu yang bersarang di hati. Akan hadir waktunya bila mana orang- orang yang kita kasihi menentang perubahan ke arah kebaikan. Akan hadir waktunya bila mana kita mula mahu mengikut propaganda hasutan iblis dan syaitan yang mahu menyesatkan kita. 


Iblis itu, wujud lebih lama sebelum nabi Adam alaihissalam diciptakan. Menghuni syurga Allah yang penuh keindahan dan ketinggian. Namun kerana takburnya sang Iblis, dari mulia menjadi makhluk yang paling hina lagi terkutuk. Merasa bongkak dengan keturunan yang diciptakan dari api, untuk tidak menentang perintah Allah swt supaya tunduk sujud kepada nabi Adam yang diciptakan daripada tanah. Semenjak itu ia berdendam dengan keturunan Adam.
  
قَالَ أَنظِرۡنِىٓ إِلَىٰ يَوۡمِ يُبۡعَثُونَ 
[al-A'raf :14]
Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)”.

Dan semenjak diusir dari syurga kerana mengingkari perintah Allah SWT untuk sujud kepada nabi Adam alaihissalam, telah ia meminta tempoh juga bersumpah untuk menyesatkan sekalian bani (keturunan) adam. Betapa derhakanya iblis kepada perintah Allah, bila diusir kali pertama ia bersumpah.

قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٲطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ
[al-A'raf :16]
Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan
 mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;

Perkataan ( لَأَقۡعُدَنَّ) yang digunakan adalah dari (قۡعُدَ),  kata asal yang bermaksud duduk. Iblis mahu menghalang/ menghadang usaha anak adam dari melakukan kebaikan. Fikirkan, kenapa ia tidak menggunakan perkataan berdiri? Andai seseorang berdiri di hadapan, menghalang laluan kita, kita senang menolak juga menjatuhkannya. Ulama tafsir mengatakan peranan perkataan duduk itu menunjukkan ia (iblis) mengguna apa jua cara bagi menyusah dan menyesatkan manusia. Ayat seterusnya menceritakan betapa makhluk laknatuLLAH ini berusaha sedaya upaya untuk menyesatkan manusia dari pintu kebaikan samada dari bahagian hadapan, belakang, kanan juga kiri.

Atas?

Ulama mentafsirkan ayat ini berperanan menunjukkan bahawa kemuliaan dan kemuliaan Allah SWT itu melebihi kudrat iblis, maka iblis tidak dapat menghalang permohonan juga doa umat manusia dari sampai kepada Allah SWT. Ini tidak bermaksud menunjukkan keberadaan Allah SWT sebagai berada di atas atau di langit, kerana sifat Allah SWT itu bukan seperti makhluk ciptaan-Nya. Allah wujud tidak bertempat, Maha Suci Allah dari segala tanggapan yang tidak patut.


Kita, wahai sahabat yang dikasihi sekalian, tabahkanlah hati. Hidup di dunia ini umpama bermusafir untuk menuju ke kampung akhirat yang kekal. Perjalanan yang harus ditempuhi penuh ujian dan jalan yang berliku. Mungkin kita rasa lemah namun jangan berputus asa, jangan sedih dan jangan gundah. Jangan lekas tunduk pada sebuah kegagalan. Untuk memulakan langkah yang pertama itu tidak mudah, tetapi langkah yang pertama itulah yang bakal membawa kepada beribu- ribu langkah yang lain. Wa qutril khoto' wed dillinaa 'ala hilminaa - our many footsteps will lead us to our dream (Ehlam ma3ya - Hamza Namira)

Ingatlah bahawa sesungguhnya, Allah SWT tidak akan sekali- kali mengsia- siakan orang yang berusaha untuk menjadi baik.

Jangan takut kiranya kita tidak mendapat tempat di sisi manusia,
Tapi takutlah andai kita tidak mendapat tempat di sisi Allah swt kelak!

Mari berusaha, liLLAHI taala.

Mari beramal, untuk bekalan hari akhirat.

Mari mempersiapkan diri, untuk maut yang bakal menjemput bila- bila masa.

Mari menjadi hamba. Allahuakbar!

Wallahu'alam...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails